LATIHAN 1
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kaedah-kaedah rawatan bagi jangkitan influenza A H1N1 dan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan penularannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Influenza A H1N1 ialah kuman selsema yang biasa dalam persekitaran babi. Wabak H1N1 dalam kalangan babi pernah dilaporkan sebelum ini. Kali pertama influenza A H1N1 dikesan pada babi adalah tahun 1930. Namun, jenis virus influenza A H1N1 yang terbaru ini tidak dapat dipastikan asal usulnya. Kemungkinan berlaku percampuran genetik antara virus daripada burung, babi, dan manusia di Amerika Utara. Perkara ini dilaporkan sebagai selsema babi pada 24 April 2009. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukarkan istilah ini kepada influenza A H1N1 supaya lebih menggambarkan penyebab sebenar kepada wabak selsema ini.
Sehingga 16 Ogos 2009, Kementerian Kesihatan melaporkan kematian yang berkaitan dengan jangkitan influenza A H1N1 ialah 59 kes. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan beberapa kes masih dirawat di unit rawatan rapi serta wabak ini masih di peringkat awal. Jumlah mangsa yang dipastikan dijangkiti virus H1N1 melalui ujian makmal sehingga kini adalah sekitar 2000 orang. Jumlah yang dipastikan dijangkiti virus H1N1 adalah lebih kecil daripada jumlah sebenar kerana ujian makmal dilakukan untuk kes yang teruk sahaja. Melihat kepada keadaan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa H1N1 merupakan satu bencana yang dahsyat memandangkan bencana lain seperti banjir, tanah runtuh, dan sebagainya hanya meragut nyawa dalam jumlah yang kecil.
Secara umumnya,pesakit dengan gejala ringan dan tidak mempunyai penyakit sampingan hanya memerlukan rawatan untuk gejalanya, iaitu demam, batuk, dan selsema. Pesakit juga perlu banyak minum air dan makan buah-buahan. Pesakit yang menghidap gejala selsema perlu memakai topeng muka dan mengelakkan diri daripada berkunjung ke tempat awam. Bagi individu yang disyaki dijangkiti virus maut ini, mereka dinasihati menjalankan kuarantin diri di rumah dan memerhati perkembangan simptom penyakit tersebut pada diri masing-masing. Pesakit-pesakit yang mempunyai penyakit sampingan seperti penyakit respiratori (asma, penyakit paru-paru kronik), obesiti, kurang daya imuniti, kanser, diabetes, penyakit jantung mahupun ibu yang hamil perlu mendapatkan rawatan antivirus lebih awal. Pesakit yang dijangkiti virus ini dinasihati agar berhenti merokok kerana perbuatan ini mendatangkan mudarat kepada mereka.
Kakitangan perubatan yang merawat pesakit diberi antivirus bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus ini. Pihak Kementerian Kesihatan terus memantau keadaan ini dan kumpulan sasar antivirus akan berubah mengikut keperluan semasa. Misalnya, pesakit kanak-kanak berumur kurang daripada lima tahun dan pesakit yang mendapat demam berterusan lebih dari tiga hari perlu mendapat rawatan antivirus. Pesakit yang berisiko mendapat komplikasi sederhana dan teruk diberi rawatan di dalam wad. Pesakit yang menghidap gejala ringan tidak memerlukan rawatan khusus. Pertimbangan ini dibuat berdasarkan kemudahan kesihatan yang terhad dan kakitangan hospital yang berkhidmat melampaui kemampuan mereka. Sudah pasti kakitangan kesihatan tidak mempu memeriksa setiap pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan dengan teliti. Namun begitu, sekiranya terdapat tanda amaran, mereka yang menghidap gejala ringan ini perlu diperiksa dan rawatan dengan sempurna.
(Dipetik dan diubah suai daripada 'H1N1 - Apa Anda Perlu Tahu?' oleh Dr. Zakuan Zainy Deris, Mingguan Malaysia.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata pencampuran genetik. [2 markah]
(ii)Mengapakah H1N1 dikatakan suatu bencana yang dahsyat kepada negara kita?
Berikan tiga sebab berdasarkan petikan tersebut. [3 markah]
(iii)Jelaskan empat faktor yang mendorong penyebaran penyakit H1N1 di negara kita. [4 markah]
LATIHAN 2
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memajukan sektor pertanian dan kesannya kepada ekonomi negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sebelum ini banyak orang yang pernah
menjangkakan bahawa senario pembangunan
sektor pertanian akan berubah dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) selaras
dengan kemajuan sektor-sektor lain. Namun, jangkaan ini nampaknya meleset
sebagai akibat daripada kemerosotan daya pengeluaran dan pemasaran, ditambah
lagi dengan kejatuhan harga komoditi eksport negara seperti getah dan kelapa
sawit. Secara keseluruhan, masalah ini harus dilihat secara kolektif dengan mengambil
kira pelbagai aspek termasuklah kerjasama dan penyertaan semua pihak. Jika diselidiki
degan lebih jauh, masalah ini berpunca daripada kurangnya penglibatan secara
serius dan proaktif pelbagai pihak, khususnya pihak swasta. Hal ini demikian
kerana dalam era teknologi dan perindustrian moden, sektor pertanian dianggap
antara sektor yang tidak membawa keuntungan malah mendatangkan kerugian. Secara
tidak langsung, sektor pertanian disalah anggap sebagai sektor yang
konservatif, kekampungan, dan seterusnya kurang diceburi oleh ramai orang.
Dalam hal ini, sudah sampai masanya
pihak kerajaan memajukan dan menggalakkan penggunaan alat berteknologi tinggi
dan moden untuk memajukan pertanian negara. Kerajaan juga melalui agensi
tertentu menyalurkan maklumat menyeluruh tentang penggunaan dan peralatan
berteknologi moden ini kepada petani. Hari ini, peladang dan pekebun kecil
masih terus menggunakan alat-alat tradisional. Hal ini menyebabkan pengeluaran
getah dan kepala sawit negara kurang produktif, dalam masa yang sama terpaksa
menampung bebanan tenaga kerja yang banyak.
Selain sektor pertanian dilengkapkan
dengan peralatan yang moden dan canggih, kerajaan juga membantu untuk
memaksimumkan penggunaan hasil pertanian negara dengan cara memanfaatkan sisa
buangan hasil pertanian. Dalam hal ini, kerajaan membiayai kos penyelidikan
kitar semula sisa buangan pertanian. Sisa buangan ini tentu mempunyai potensi
untuk dikembangkan jika kerajaan memberikan galakan dengan membiayai
penyelidikan yang berkaitan agar hasilnya nanti dapat dikomersialkan pada skala
yang lebih besar. Secara tidak langsung, usaha ini mempelbagaikan pengeluaran
komoditi eksport negara khususnya yang berasaskan kelapa sawit.
Satu lagi usaha untuk meningkatkan
pengeluaran dalam sektor pertanian ini adalah dengan meningkatkan penyertaan
orang ramai untuk sama-sama menceburkan diri dalam bidang pertanian. Antara kaedah
yang berkesan termasuklah menjalankan kempen secara meluas meliputi semua
peringkat sosial masyarakat dan melibatkan semua pihak. Agensi yang
dipertanggungjawabkan harus memainkan peranan secara berkesan agar segala
perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jadi, kempen yang dianjurkan
diharap tidak sekadar “melepaskan batok di tangga”. Sesungguhnya sekarang
merupakan masa untuk kita bertindak dan mengatur strategi, bukanlah masa untuk
menuding jari, menyalahkan pihak lain atas pencapaian yang kurang memuaskan
pada masa lalu.
(Dipetik
dan diubah suai daripada ‘Menyelesaikan Dilema Pertanian’ oleh Mukhzeer Mohamad
Shahimin, Dewan Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata senario pembangunan. [2 markah]
(ii)Mengapakah sektor pertanian kurang memberangsangkan dari segi pengeluaran dan pemasaran Kemukakan tiga sebab. [3 markah]
(iii)Cadangkan empat langkah untuk menggalakkan lepasan IPT menceburkan diri dalam sektor pertanian. [4 markah]
LATIHAN 3
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pelajar bumiputera kurang berminat untuk melnajutkan pelajaran di IPTS dan langkah-langkah untuk mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kemunculan
institusi pendidikan swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan
memberikan peluang yang luas kepada golongan pelajar untuk terus bersaing dalam
era globalisasi. Sememangnya pendidikan memainkan peranan yang sangat penting
kepada seseorang individu agar dapat membina ummah yang maju dan bermoral.
Berdasarkan statistik yang ada, sehingga tahun 2007 terdapat lebih daripada 568
buah IPTS di seluruh negara. Situasi ini tentunya membuka peluang
seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar untuk melanjutkan pendidikan mereka ke
peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, bagi pelajar yang tercicir, IPTS
merupakan institusi yang menyediakan peluang untuk mereka melanjutkan
pelajaran.
Namun begitu, bilangan pelajar
bumiputera yang menerima pendidikan di IPTS sekarang ternyata kecil, iaitu
sekitar 20% daripada puluhan ribu pelajat IPTS di Malaysia. Mengapakah fenomena
ini terjadi? Antaranya disebabkan oleh kekeliruan sama ada di pihak pelajar
mahupun ibu bapa terhadap IPTS. Selain itu, kadar yuran yang dianggap lebih
tinggi berbanding dengan kadar yuran di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA)
dikenal pasti sebagai faktor pelajar bumiputera kurang berminat untuk
melanjutkan pelajaran di IPTS. Malahan, kaum bumiputera khususnya orang Melayu
masih tidak sanggup berkorban untuk melabur dalam bidang pendidikan. Prioriti
mereka lebih tertumpu kepada peningkatan taraf ekonomi keluarga. Oleh sebab
itu, pelaburan dalam bidang pendidikan
menjadi keutamaan sampingan mereka. Selain itu, pelajar bumiputera juga begitu
menimbangkan pelbagai perkara sebelum memilih IPTS seperti memikirkan beban
kewangan yang bakal ditanggung oleh mereka selepas tamat pengajian disebabkan
kadar yuran yang mahal berbanding dengan kadar yang dicajkan oleh IPTA.
IPTS juga sering digembar-gemburkan
dengan keadaan kekurangan kemudahan yang lengkap seperti dewan kuliah, pusat
sukan, kemudahan makmal, dan perpustakaan yang selesa. Begitu juga dengan
kualiti akademik yang ditawarkan didakwa tidak menurut piawaian sebenar.
Misalnya, untuk memastikan pelajar IPTS itu berjaya, kemungkinan sukatan yang
diajarkan dan soalan peperiksaan yang diberikan tidak menepati tahap yang
selayaknya. IPTS juga mengurangkan kos dengan mengambil pensyarah yang baru
tamat pengajian mereka. Natijahnya, banyak tenaga pengajar IPTS yang kurang
pengalaman dan terlatih. Hal ini tentulah akan menjejaskan kualiti pengajaran
dan pembelajaran pelajar itu sendiri.
Pelajar
bumiputera juga kurang yakin terhadap peluang kerjaya yang bakal diperoleh
mereka. Hal ini demikian kerana persaingan daripada graduan IPTA dan lepasan
pelajar luar negara amat merisaukan mereka. Hal ini ditambah lagi dengan
sebilangan IPTS yang membawa imej yang kurang baik di sektor awam mahupun di
sektor swasta. Keadaan ini menyukarkan pihak majikan untuk menerima mereka
sebagai pekerja. Kekeliruan pelajar dan ibu bapa perlu diubah demi kepentingan
pelajar bumiputera itu sendiri khususnya dan negara amnya.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kekeliruan
Mengenai IPTS’ oleh Nazri Muslim, Dewan
Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata pelaburan dalam bidang pendidikan. [2 markah]
(ii)Nyataka tiga kebaikan penubuhan IPTS kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk memastikan IPTS mendapat sambutan daripada pelajar bumiputera? [4 markah]
LATIHAN 4
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memantapkan jati diri remaja dan faedah-faedahnya kepada masyarakat di negara ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Fenomena
mutakhir menunjukkan kesedaran masyarakat tentang betapa perlunya membentuk
remaja yang mempunyai jati diri dalam menempuh abad ke-21. Sebenarnya remaja
Malaysia sudah bersedia untuk mengikut arus perdana perubahan negara dan
seterusnya memimpin peradaban dunia. Kekuatan jati diri remaja menjadi banteng
ketahanan sesuatu bangsa. Dalam konteks Malaysia khususnya, golongan remaja
berperanan untuk mencetuskan citra perjuangan dan menawarkan nilai kepimpinan
yang unggul dari semasa ke semasa. Menerusi rentetan sejarah, terbukti peranan
golongan muda dalam kelangsungan pembinaan umat di Malaysia.
Namun kenyataannya dalam keadaan
masyarakat yang berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi digital pada
hari ini, perancangan untuk menyediakan model jati diri golongan remaja yang
kental bagi mewarisi kepimpinan dan mengurus kejayaan negara kelak belum cukup.
Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan jka ingin menyediakan pemimpin negara
masa depan. Program khusus seperti Rakan Muda diperluas fungsinya dan perlu
disokong, malah usaha yang dilakukan perlu melangkau batas itu agar kelas
seumpama itu dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan. Kerajaan bertindak
secara rasional dan teliti dalam menggariskan dasar kebudayaan negara untuk
menjadi panduan kepada generasi muda. Langkah tersebut akan lebih berkesan
apabila kerajaan mengambil tindakan untuk menapis kuman budaya asing daripada terus menyerang golongan remaja.
Artis berperanan sebagai suri
teladan. Kita yakin bahawa pada golongan artis terdapat ciri-ciri positif yang
dapat dicontohi. Bakat dan kemahiran seni mereka hendaklah dijurus kepada
kebaikan. Dalam hal ini, ikutan para remaja hendaklah pelbagai, terutamanya
pada mereka yang telah terbukti unggul peribadinya.hal ini demikian kerana
identiti remaja perlu diwarisi antaranya daripada ketokohan ilmuwan, ahli sukan
yang bersemangat waja, ataupun pejuang bangsa. Program Bina Sahsiah Islam yang
diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini dapat mencapai hasrat
untuk mendidik para remaja agar selari dengan sahsiah dan akhlak yang mulia.
Kerajaan juga mengkaji dan mengambil
tindakan terhadap kebanjiran pusat hiburan dan pusat permainan video yang kian
banyak jumlahnya. Jika kita benar-benar serius ingin mewujudkan Malaysia
sebagai negara maju berasaskan model dan acuan tersendiri, maka agak
menghairankan apabila pusat hiburan sebegini tumbuh melata. Selain itu,
kemantapan golongan remaja dan kemampuan mereka untuk memajukan Malaysia kelak
bergantung pada sejauh mana mereka dapat dibimbing dalam mengurus budaya dan
nilai yang diimport dari luar. Usaha untuk mendedahkan remaja tentang peranan
mereka pada masa hadapan adalah tugas berat setiap pihak yang sedar akan
masalah dan keruwetan isu yang bersifat global. Malah, usaha membina jati diri
remaja untuk menghadapi cabaran masa hadapan sebagai akibat rempuhan pemodenan
tidak akan sempurna jika kita tidak menyedarkan mereka tentang kedudukan
Malaysia dan peranannya pada peringkat serantau dan seantero dunia.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Jati Diri
Remaja Abad Ke-21 Penentu Masa Hadapan Negara’ oleh Azril Mohd. Amin, Dewan Siswa.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata kuman budaya asing. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa peranan remaja yang menjadi kekuatan negara. Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii)Sebagai remaja yang berwawasan, jelaskan empat persediaan yang perlu anda lakukan untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. [4 markah]
LATIHAN 5
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan-kebaikan laman blog kepada pengendali laman blog dan usaha-usaha menggalakkan remaja memiliki laman blog sendiri. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Blog
ialah singkatan daripada blog web – istilah yang pertama kali digunakan oleh
Jorn Barger pada penghujung tahun 1997. Beliau menggunakan istilah blog web
peribadi, yang sering mengemaskinikan catatan mereka secara berterusan.
Blog merupakan cara yang mudah untuk
mengenal peribadi pemiliknya atau kecenderungan pemiliknya menulis tentang
sesuatu isu. Menulis blog atau memblog pada setiap hari akan menjadikan
pengendali blog lebih yakin pada diri melalui pandangan yang diutarakannya.
Apabila sering melahirkan buah fikiran dalam blog, mereka bukan sahaja mampu
menjanakan pemikiran secara terbuka dan kritis, tetap juga menjadi terapi yang
sihat kepada minda.
Dalam meneliti kebanyakan laman blog
yang ada pada hari ini, penyertaan remaja amat kurang. Jarang-jarang sekali
dapat ditemukan laman blog yang dikendalikan oleh remaja. Jika ada pun,
jumlahnya amat kecil. Remaja pada hari ini perlu memanfaatkan perkembangan blog
untuk menjanakan pemikiran yang lebih positif, terutama pelajar pusat pengajian
tinggi. Blog dapat dijadikan sebagai saluran komunikasi untuk meluahkan
pendapat yang bernas tentang sesuatu isu yang sememangnya menuntut pemikiran
yang matang dan kritis selaras dengan status mereka sebagai pelajar pusat
pengajian tinggi, iaitu generasi pemimpin masa depan.
Jika pandai memanfaatkan
perkembangan teknologi pada hari ini, laman blog juga dapat dijadikan ruang
untuk memperoleh pendapatan dengan cara yang mudah. Hal ini demikian kerana
berkembangnya sistem pemasaran di alam siber menjadikan blog sebagai medium
yang amat berguna bagi sesiapa yang ingin mengiklankan produk masing-masing.
Laman blog juga lebih mudah untuk dikelolakan berbanding dengan laman sesawang
yang agak sukar dikendalikan.
Blog menjadi saluran altenatif yang
paling berkesan untuk menyuarakan pandangan dan berdebat tentang sesuatu isu
darpada pelbagai perspektif. Kita bebas menyuarakan pandangan dan pendapat
tentang sesuatu isu asalkan tidak menyalahi undang-undang, misalnya tulisan
yang berunsur fitnah dan hasutan. Melalui komen yang diberikan oelh pengunjung,
laman blog menjadi medium paling berkesan
untuk berkongsi pelbagai pendapat dan pandangan, sekali gus menjadikan seseorang
pengendali laman blog lebih peka dan terbuka baik dari segi pemikiran mahupun
pandangannya.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Ledakan
Blog: Dimanakah Remaja?’ oleh Muhamad Irfan, Dewan Siswa.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata medium paling berkesan. [2 markah]
(ii)Nyatakan tiga kelebihan jika pengendali laman blog menulis di blognya pada setiap hari. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilaksanakan agar remaja kita tidak terbabit dengan penyalahgunaan laman blog?[4 markah]
LATIHAN 6
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan-keistimewaan bangunan hijau dan usaha-usaha kerajaan untuk menjayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Bangunan
hijau ialah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi bermula
daripada lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga ke peringkat
pengubahsuaian. Teknologi hijau dibangunkan untuk mengurangkan kesan kepesatan
pembangunan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Lantaran itu, bangunan
hijau memberikan tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air, dan bahan
mentah.
Banyak pihak yang tidak mengetahui
bahawa Malaysia mempunyai bangunan hijau sejak 2005. Bangunan Gtower yang
terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, mendapat pengiktirafan sebagai Green
Mark Gold daripada Building and Construction Authority of Singapore (BCA) pada
2005. Penciptaan bangunan hijau merupakan inovasi baharu yang bukan sahaja
memberikan kebaikan kepada alam sekitar, tetapi juga memberikan kesan yang
positif kepada ekonomi, khususnya melalui penjimatan sumber tenaga yang
digunakan. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengurangkan kos operasi dan
memulihara alam sekitar. Kesan kos operasi yang rendah juga dapat meningkatkan
nilai hak milik bangunan hijau.
Bangunan hijau turut mempunyai
kawalan suhu dan pengalihudaraan terhadap peningkatan pencahayaan. Hasilnya,
bangunan hijau dapat menjaga kesihatan penghuni di dalam bangunan tersebut yang
berpunca daripada ketidakstabilan suhu persekitaran dan pendedahan sinaran
ultra yang bahaya. Persoalannya, mengapakah pemaju dan pemilik bangunan di
negara ini masih kurang berminat untuk membina bangunan hijau? Tidak dinafikan
bahawa membina sebuah bangunan hijau memerlukan kos yang lebih tinggi
berbanding dengan bangunan biasa. Setelah menyedari hal tersebut, kerajaan
menyediakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan
bangunan hijau di negara ini. Inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat
menambah baik komitmen dalam kalangan pemaju untuk membina bangunan yang bukan
sahaja berkualiti, malah mengekalkan kehijauan dalam Bandar.
Satu contoh kejayaan konsep ini
adalah apabila Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) berjaya membangunkan
bangunan yang berkonsepkan teknologi hijau, iaitu Platinium Sentral. Kejayaan Platinium
Sentral diharapkan dapat menarik lebih banyak pemaju hartanah untuk lebih bersikap
prihatin dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dan pembangunan yang mampan. Dalam mengejar
pembangunan, semua pihak perlu sedar bahawa bangunan yang mesra alam lebih
tinggi nilainya berbanding dengan bangunan biasa, khususnya dalam usaha
melindungi alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Bangunan
Pintar’ oleh Azmi Ibrahim, Dewan
Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata pembangunan yang mampan. [2 markah]
(ii)Pengarang mengemukakan beberapa sikap yang perlu ada dalam diri pemaju hartanah untuk membangunkan bangunan hijau ini. Nyatakan sikap-sikap tersebut. [3 markah]
(iii)Jelaskan pendapat anda tentang tiga langkah yang dapat dilaksanakan untuk memelihara alam sekitar. [4 markah]
LATIHAN 7
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha yang dijalankan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak negara kita merdeka, semua
pihak termasuk golongan istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) turut terlibat
dalam pembangunan negara. Kerajaan berasa bangga dengan golongan ini kerana
berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka dapat
diubah sekiranya mereka berusaha dan diberikan peluang untuk memajukan diri.
Bagi golongan yang sempurna, peluang mendapat pekerjaan merupakan sesuatu yang
lumrah, tetapi bukan kepada OKU. Hal ini merupakan suatu anugerah yang amat
bermakna buat mereka.
Walaupun peratus OKU di negara ini
kecil, namun kerajaan tidak mahu melihat mereka dipinggirkan. Mereka diberikan
hak persamaan mendapat peluang melalui penyediaan pelbagai kemudahan agar dapat
memanfaatkan kehidupan. Penyediaan kemudahan ini diharapkan dapat menjadikan
golongan OKU lebih proaktif dan menggunakan peluang ini untuk memajukan diri. Selain
itu, kerajaan turut menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan komuniti bagi OKU. Pusat
itu menawarkan khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih
komprehensif bagi OKU.
Akta OKU akan digubal untuk
meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya mereka hidup bermaruah dan mempunyai
harga diri. Akta itu akan memberikan hak kepada mereka untuk diterima oleh
masyarakat dengan meningkatkan akses pendidikan dan latihan vokasional,
pekerjaan, persekitaran, dan bergerak bebas. Selain itu, program
mengintegrasikan OKU dalam masyarakat bertujuan untuk membolehkan mereka
menjalani kehidupan yang normal akan terus dipergiatkan. Golongan OKU tidak
seharusnya menjadikan kepelbagaian kemudahan ini sebagai alasan untuk tidak
berusaha dan hanya mengharapkan bantuan pihak lain.
Kerajaan turut menyediakan peluang
yang luas kepada OKU untuk memberikan khidmat bakti mereka kepada negara. Hal ini
terbukti di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil.10/1988, satu peratus peluang
pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini pelbagai jenis pekerjaan dijawat
oleh golongan istimewa ini. Pemberian peruntukan berbentuk geran berjumlah
RM200 ribu turut memberikan peluang kepada OKU dalam bidang sukan. Bukan itu
sahaja, pelbagai sektor termasuk swasta turut menyediakan latihan yang banyak
serta peluang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar mereka mampu
mandiri dan tidak bergantung pada pihak tertentu sahaja.
Beberapa pihak telah mengemukakan
cadangan untuk menubuhkan unit khas di Kementerian Pembangunan Usahawan dan
Koperasi Malaysia untuk membantu golongan OKU terlibat dalam bidang perniagaan.
Unit ini perlu juga menggubal kurikulum khas dengan memasukkan elemen
keusahawanan pada peringkat kursus dan latihan vokasional. Secara tidak
langsung, langkah ini dapat memberikan kemudahan dan pendedahan kepada
bakal-bakal usahawan kelak. Malah, unit ini turut disarankan supaya
memperkenalkan skim bantuan modal oleh institusi kewangan kepada individu yang
kurang upaya.
Kesimpulannya, kehadiran golongan
OKU dalam masyarakat tidak harus dipandang serong atau disisihkan dalam
masyarakat. Kementerian Pendidikan turut memperluas bantuan elaun khas dan
insentif kepada pelatih dan pelajar OKU. Kita harus menerima mereka sama
seperti manusia normal yang lain. Golongan ini tidak mengharapkan simpati,
tetapi menagih peluang supaya dapat hidup berdikari.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sumbangan
Orang Kurang Upaya kepada Negara’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata meningkatkan akses pendidikan. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa peranan unit khas yang telah dicadangkan penubuhannya. Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membantu rakan anda yang merupakan OKU?[4 markah]
LATIHAN 8
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tujuan-tujuan memartabatkan subjek Sejarah di sekolah dan usaha-usaha menjadikan subjek Sejarah menarik kepada pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Orang cerdik pandai selalu berkata,"Sejarah ialah guru yang
terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai
teladan atau sempadan. Sejarah merupakan kebijaksanaan silam yang boleh
dimanfaatkan untuk menongkah perjalanan masa depan juga”. Andaian yang
mengatakan bahawa sejarah sudah tidak relevan pada masa ini dan masa akan
datang disebabkan persepsi sempit masyarakat terhadap sejarah. Andaian ini
tercetus apabila sejarah didefinisikan sebagai himpunan tarikh-tarikh dan
peristiwa-peristiwa luput yang terpisah daripada realiti sosio budaya dan
politik semasa.
Kita harus mengakui bahawa sejarah
sesebuah negara ialah akar tunjang sesuatu bangsa. Malangnya, generasi
pascamerdeka kian melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan para pejuang
tanah air. Justeru, pelbagai pihak menyambut baik cadangan Kementerian
Pendidikan untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai suatu subjek yang khusus
dengan mengembalikan subjek Sejarah di sekolah. Penekanan terhadap subjek
Sejarah pada peringkat sekolah rendah dilihat sebagai satu anjakan besar untuk
melahirkan generasi yang tahu menghormati dan menghayati sejarah negara. Dengan
mempelajari sejarah, rakyat negara ini dapat memahami beberapa perkara yang
terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan menghayati sejarah juga,
mereka dapat menangani sesuatu isu yang melibatkan berbilang kaum tanpa
terkeluar daripada kerangka sejarahnya. Sejarah penting sebagai alat perpaduan
kaum di negara ini juga. Dengan memahami, menghayati, dan memanfaatkan sejarah
silam, perpaduan antara kaum dapat diperkukuh sekali gus mempertahankan negara
ini agar keturunan mereka tidak dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.
Ketika ini, subjek Sejarah agak terpinggir jika dibandingkan dengan
subjek-subjek lain kerana tidak menjadi subjek khusus di sekolah. Dalam pada
itu, tiada pihak yang bangkit dan membetulkan pendekatan pembelajaran Sejarah
supaya dianggap sebagai “melihat kembali benda-benda mati”. Pendekatan
pembelajaran Sejarah kurang dinamik juga, iaitu pelajar sekadar menghafal
tarikh-tarikh penting dan peristiwa-peristiwa tertentu. Hal ini demikian kerana
subjek ini tidak memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan peperiksaan.
Dengan anjakan besar yang dibayangkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar dapat
mengenali sejarah kegemilangan silam serta peninggalan khazanah intelektual orang-orang
Melayu. Mempelajari subjek Sejarah ibarat menyelongkar lapisan demi lapisan
kebijaksanaan generasi terdahulu. Mengenal sejarah bukan sahaja akan menyemai
kecintaan kepada tanah air, bahkan dapat menyematkan penghargaan generasi
baharu terhadap tokoh-tokoh terdahulu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tuk
Janggut, dan lain-lain yang berjuang mati-matian untuk memastikan anak cucu
mereka dapat hidup dalam suasana aman, bebas, dan merdeka. Justeru, Kementerian
Pendidikan harus mempertahankan cadangan menjadikan sejarah sebagai subjek
khusus pada peringkat rendah dan juga menengah. Kita tidak mahu ada dalam
kalangan generasi muda yang lebih kenal sejarah negara lain daripada tanah
tumpahnya darah mereka.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Pentingnya
Menghayati Sejarah’ oleh Ku Seman Ku Hussain, Mingguan Malaysia.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata peninggalan khazanah intelektual. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa punca subjek Sejarah dikatakan agak terpinggir jika dibandingkan dengan subjek-subjek lain. Apakah punca-punca tersebut? [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar?[4 markah]
LATIHAN 9
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang strategi memperkemas matlamat pembangunan e-Halal dan faedah-faedahnya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Isu produk makanan dan produk gunaan halal telah lama
dibangkitkan oleh pengguna. Mereka keliru dengan tanda halal palsu pada produk
makanan dan barangan gunaan yang diletakkan oleh pengeluar yang tidak
bertanggungjawab. Rentetan daripada maklum balas dan aduan yang diterima
daripada pengguna produk halal yang prihatin, maka kerajaan telah menubuhkan
sistem maklumat yang dipanggil e-Halal. Ternyata pelancaran e-Halal pada 8
Februari 2006 telah menyingkap satu lembaran baharu industry halal di negara
ini.
Sistem
e-Halal ini menyalurkan maklumat pengeluar produk makanan dan produk gunaan
halal yang telah memperoleh sijil halal daripada JAKIM, lengkap dengan maklumat
mengenai ramuan. menerusi sistem e-Halal ini, pengguna Islam dapat mengesahkan
status halal sesuatu produk dengan kadar yang pantas. Untuk menyemak status
halal sesuatu produk, pengguna perlu memasukkan perkataan “halal” dan “nombor
rujukan halal” ke dalam telefon bimbit dan dihantar ke sistem e-Halal JAKIM,
iaitu 32728. Namun begitu, strategi yang berkesan perlu diambil untuk
memperkemas matlamat pembangunan e-Halal. Antaranya termasuklah e-Halal perlu
dilengkapkan dengan sistem merekodkan semua nombor Global Standard One (GSI) palsu dan tamat tempoh sijil halalnya.
SMS pengguna yang mendapat maklum balas negatif daripada e-Halal perlu dianggap
sebagai laporan rasmi oleh JAKIM. Dengan kata lain, pengguna tidak perlu lagi
membuat laporan secara bertulis kepada JAKIM. Hal ini dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan tindakan yang
cepat dapat diambil.
Penyebaran
maklumat status halal sesuatu produk juga hendaklah dibuat dengan lebih
menyeluruh. Sebaik-baik sahaja menerima maklumat tentang nombor GSI yang
dipalsukan, JAKIM perlu segera menyebarkannya kepada pengguna yang lain.
Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat penting bagi memantapkan system
e-Halal lagi. Jangka masa memperbaharui sijil halal pula lebih sesuai dibuat
pada setiap tahun berbanding dengan dua tahun sekali. Dengan bayaran yang
rendah, iaitu RM100 yang dikenakan oleh JAKIM untuk memperoleh sijil sah halal,
pengeluar pastinya tidak akan terbeban. Seperkara lagi yang perlu
dipertimbangkan ialah keselamatan sistem e-Halal itu sendiri. JAKIM harus
memastikan bahawa sistem e-Halal selamat daripada anasir-anasir pencerobohan.
Jika pihak yang tidak bertanggungjawab berjaya menceroboh sistem e-Halal, maka
maklumat yang diberikan sudah tidak tepat serta tidak boleh dipercayai lagi.
JAKIM juga perlu meninjau aktiviti penjualan makanan kepada kanak-kanak. Oleh
sebab golongan ini mudah terpengaruh dan tidak begitu faham tentang konsep
halal dan haram, mereka sering menjadi mangsa dalam kemelut makanan tidak
halal. Selain produk makanan, sistem e-Halal turut mencakupi produk bukan
makanan yang digunakan oleh umat Islam seperti bahan kosmetik dan perubatan.
Oleh hal yang demikian, faktor kebersihan perlu diambil kira sebelum sijil sah
halal dikeluarkan. Hal ini bersesuaian dengan kehendak Islam yang sangat
mementingkan kebersihan.
Kesimpulannya,
selagi kuasa ekonomi dipegang secara majoriti oleh orang bukan Islam yang
kurang arif tentang konsep halal haram, selagi itulah usaha pihak JAKIM untuk
memantau hal ini dianggap relevan. Dalam mencari jalan penyelesaian terhadap
isu halal haram, sudah tiba masanya pengusaha yang beragama Islam perlu
mengorak langkah secara serius untuk terlibat dalam industri pengeluaran makanan
dan barangan yang halal.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sistem e-Halal: Malaysia
Maju Setapak lagi’, Dewan Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata kerenah birokrasi. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kebaikan kepada pengguna apabila laporan aduan SMS dianggap sebagai laporan rasmi oleh JAKIM. Apakah kebaikan-kebaikan tersebut? [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, mengapakah sistem e-Halal perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh di negara kita?[4 markah]
LATIHAN 10
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan dan kepentingan usaha mengatasinya kepada negara . Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Setiap ibu bapa tentu mempunyai impian untuk melihat
anaknya melanjutkan pelajaran ke menara gading, membawa pulang segulung ijazah,
dan seterusnya menjawat jawatan yang tinggi. Walau bagaimanapun, tidak semua
impian dan harapan mereka itu akan menjadi kenyataan apabila graduan kini
semakin sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka.
Sebagai akibatnya, graduan terpaksa menceburi bidang pekerjaan yang di luar
kursus yang diambil sewaktu menuntut di universiti. Mereka terpaksa melakukan
pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan sebagai seorang graduan. Tidak kurang
juga graduan yang terus menunggu dan mengharapkan pekerjaan yang tidak kunjung
tiba. Sesetengah mengambil keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan
setelah sekian lama menjadi penganggur terhormat.
Peka
terhadap permasalahan yang timbul, maka Kementerian Sumber Manusia telah
mengemukakan beberapa cadanganuntuk mengurangkan kadar pengangguran dalam
kalangan siswazah. Antara cadangan tersebut termasuklah menggalakkan graduan
yang menganggur mengikuti kursus yang selari dengan pasaran tenaga kerja. Walau
bagaimanapun, cadangan tersebut dilihat hanya mampu menyelesaikan masalah ini
buat sementara waktu. Sebaliknya, perubahan dan penilaian terhadap sistem
pendidikan di peringkat IPT perlu dilakukan sebagai jalan penyelesaian dalam
jangka masa panjang. Pada dasarnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah berjaya
melahirkan golongan graduan, tetapi hakikatnya produk yang dihasilkan oleh IPT
itu gagal berdikari. Sebagai golongan yang berpendidikan, graduan seharusnya
lebih kreatif dan berani meneroka alam
pekerjaan yang baharu. Mereka perlu menjadi golongan yang mampu mencipta
dan menyediakan peluang pekerjaan dengan menggunakan segala ilmu serta
kemahiran yang dipelajarinya di universiti.
Graduan
sepatutnya tidak terlalu bergantung harap kepada pihak lain untuk mendapatkan
pekerjaan. Hal ini demikian kerana keadaan dan senario pasaran pekerjaan telah
berubah. Graduan perlu mengikis mentaliti makan gaji yang kuat mendasari
pemikiran dan sanubari mereka. Graduan harus mempunyai keyakinan diri yang
tinggi serta bersedia untuk melakukan perubahan bagi menyesuaikan diri mereka
dengan persekitaran. Selain itu, Program Siswazah Tani yang pernah dirintis
perlu dihidupkan semula. Graduan seharusnya tidak terlalu memilih pekerjaan
yang bersesuaian dengan kelulusan mereka kerana sikap terlalu memilih kerja ini
menyebabkan paras pengangguran dalam kalangan graduan kian meningkat. Graduan
perlu mengambil kira pengalaman yang bakal ditimba di tempat kerja berbanding
dengan tangga gaji yang ditawarkan oleh majikan. Pengalaman tersebut yang akan
mematangkan mereka untuk menceburi bidang kerja yang lebih mencabar.
Sebarang
usaha dan program yang dilaksanakan itu tidak akan berjaya tanpa sokongan,
bantuan, dan dorongan daripada sektor awam serta sektor swasta. Kerjasama
daripada institusi kewangan juga penting untuk membantu graduan menceburi
bidang perniagaan atau bidang yang selari dengan kursus pengajian yang
diambilnya. Peluang perlu diberikan kepada graduan untuk membuktikan keupayaan
dan kemampuan mereka. Kaedah memberikan “jaring” serta “pancing” dan
kemudiannya membiarkan para graduan berusaha untuk mendapatkan “ikan” atau
menyuapkan pekerjaan kepada golongan ini. Sekurang-kurangnya dengan berbuat
demikian, akan dapat melahirkan graduan yang berdaya maju dan berusaha
memperbaiki keadaan diri mereka.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Mengatasi Masalah
Graduan Menganggur’ oleh Ann Abdullah, Dewan Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata meneroka alam pekerjaan yang baharu. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan yang berlaku apabila graduan kini semakin sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Apakah kesan-kesan tersebut? [3 markah]
(iii)Sebagai mahasiswa yang berdaya saing, jelaskan tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh mahasiswa untuk mengatasi masalah pengangguran. [4 markah]
LATIHAN 11
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan
tentang faktor-faktor kemerosotan
nilai-nilai kejiranan dan langkah untuk memantapkan nilai
tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan
bermasyarakat. Namun begitu, segelintir anggota masyarakat pada hari ini
mengambil mudah tentang semangat kejiranan. Pada zaman dahulu, hubungan sesame jiran
sangat akrab,”seperti aur dengan tebing”. Kini hubungan tersebut semakin
renggang walaupun rumah dalam kawasan kejiranan sangat dekat antara satu dengan
yang lain.
Tuntutan hidup yang serba
mencabar di kawasan bandar menjadikan masyarakat sentiasa sibuk bekerja dan
mencari keperluan diri serta keluarga. Kesibukan terhadap kerja dan
tanggungjawab ini menyebabkan mereka tidak dapat meluangkan masa dengan jiran
tetangga. Lebih malang lagi, ada kalangan anggota masyarakat yang mengambil
sikap tidak mempedulikan antara satu dengan yang lain. Nilai-nilai kejiranan
turut terhakis apabila berlakunya peningkatan kos sara hidup dan tekanan hidup
dunia moden terutamanya di kawasan bandar. Fenomena ini memaksa warga kota
bekerja sepanjang hari. Hal ini menyebabkan mereka keletihan dan kesuntukan
masa untuk bergaul sesama jiran. Masalah kemerosotan nilai-nilai kejiranan
begitu ketara dalam komuniti bandar yang lebih kompleks dan canggih
kehidupannya.
Reka bentuk dan
perancangan fizikal juga sedikit banyak menyumbang kepada ketirisan nilai-nilai
tersebut. Fenomena tersebut semakin parah apabila ditambah dengan proses urbanisasi yang mendorong
masyarakat bandar bersikap tidak mahu mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik
dan sibuk dengan hal sendiri menyebabkan ikatan kemasyarakatan menjadi longgar.
Keghairahan anggota masyarakat mengejar dunia materialistik menambahkan
kemerosotan nilai-nilai kejiranan yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu. Seterusnya,
ketirisan semangat kekitaan menyebabkan anggota masyarakat tiada keinginan
untuk mengambil berat atau saling bertegur sapa. Semangat kekitaan yang semakin
kurang antara anggota masyarakat bukan sahaja merugikan penduduk bandar malah
boleh mewujudkan pelbagai masalah sosial lain termasuklah penagihan dadah,
kecurian, dan vandalisme. Selain nilai kejiranan yang hilang akibat kurangnya
semangat kekitaan, terdapat juga anggota masyarakat yang bersifat merendah diri
dan tidak suka bergaul dengan orang lain kerana perbezaan pangkat dan latar
belakang sosioekonomi. Bahkan semangat kejiranan semakin pudar apabila ada yang
bersifat dengki, berpaling muka sesama jiran, dan tidak bertegur sapa.
Faktor teknologi maklumat
dan komunikasi turut menyebabkan masyarakat pada hari ini kurang menghiraukan
semangat kejiranan. Perkembangan teknologi yang canggih menyebabkan mereka
semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan anggota masyarakat yang
lain. Aplikasi peralatan komunikasi canggih menjadikan anggota masyarakat tidak
bersikap ramah dan kurang kemahiran komunikasi. Sebagai makhluk sosial, manusia
tidak dapat hidup sendiri kerana hidup berjiran atau bermasyarakat merupakan
fitrah semula jadi manusia. Oleh itu, sudah tiba masanya kita merenung kembali
dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat
khususnya masyarakat bandar.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kemerosotan
Nilai Kejiranan’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa.)
Soalan - Petikan Umum
(i) Berikan maksud rangkai kata proses
urbanisasi. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan peningkatan kos sara hidup dan
tekanan hidup yang dapat menjejaskan semangat kejiranan. Apakah kesan-kesan
tersebut? [3 markah]
(iii)Kerajaan menjalankan pelbagai usaha untuk menyuburkan semangat
kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat kerana menyedari semangat tersebut
amat penting dalam sesebuah negara. Pada pendapat anda, apakah kepentingan-kepentingan
semangat kejiranan? [4 markah]