Monday, 28 May 2018

Latihan RUMUSAN Edisi 2 (Semester 4 - Kolej Vokasional)


LATIHAN 1

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha membanteras rasuah dan punca rasuah sukar ditangani. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Rasuah menjadi duri dalam daging bagi sesebuah negara. Jika masalah sosial ini tidak dibendung, pembangunan negara akan berhadapan dengan jalan buntu. Oleh sebab itu, pelbagai kaedah perlu diambil untuk mengatasi penularannya. Kita tidak mahu rakyat Malaysia khususnya masyarakat Malaysia alaf baharu terus bergelumang dengan perbuatan negatif ini. Golongan pewaris ini hendaklah disemaikan dengan semangat antirasuah.
            Sesetengah pihak tidak segan-segan memberi dan menerima rasuah untuk mendapatkan sesuatu yang menguntungkan mereka. Sehubungan dengan itu, tindakan memerangi rasuah di Malaysia menjadi satu usaha yang berterusan dengan kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah. Dengan itu, agensi yang bertanggungjawab, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah bertindak dengan tegasnya untuk membendung amalan negatif ini. Jika amalan negatif ini dibiarkan berterusan, sudah pasti masyarakat akan menjadi pincang dan ketidakadilan berleluasa. Oleh sebab itu, SPRM wajar meneruskan usaha berterusan untuk mendidik masyarakat agar membenci rasuah. Bagi memastikan sasaran yang digariskan itu tercapai, focus dan penekanan diberikan terhadap tindakan merampas kesemua harta daripada hasil rasuah untuk memastikan hasil rasuah dikembalikan sebagai hasil negara.
            Menerusi strategi-strategi yang telah direncanakan itu, tindakan penguatkuasaan memerangi rasuah dilipatgandakan dengan lebih agresif agar tiada perasuah yang akan terlepas daripada hukuman. Operasi dan penguatkusaan yang dilaksanakan itu kini menunjukkan hasil yang positif dan membanggakan kita semua. Tindakan yang dilakukan oleh SPRM berjaya meraih kepercayaan rakyat, dan seterusnya meningkatkan keyakinan mereka untuk menyokong tindakan tersebut. Menerusi keyakinan itu, kita berusaha untuk membentuk kesedaran masyarakat Malaysia agar menolak rasuah kerana hasil rasuah tidak boleh dipandang sebagai habuan yang datang bergolek. Sehubungan dengan itu, seseorang itu akan terhindar daripada godaan kilauan ringgit. Bagi individu yang masih berdegil, SPRM hendaklah merancang strategi untuk mengenal pasti golongan yang berpotensi untuk terlibat dengan rasuah. Usaha yang membawa kepada penambahbaikan strategi memerangi rasuah di Malaysia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Lantaran itu, sebaik-baiknya mereka digerakkan sebagai jentera sukarela untuk memerangi rasuah yang masih berlaku di negara ini.
            Untuk mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah, usaha perlu dilakukan secara berterusan, ikhlas, dan menyeluruh tanpa memilih bulu. Jika kita gagal memerangi rasuah, sudah pasti kita tidak berjaya membawa negara keluar daripada amalan terkutuk ini daripada kehidupan masyarakat.

(Dipetik daripada fail pengarang, ‘Komitmen Berterusan Masyarakat Membanteras Rasuah’, April 2017)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata jalan buntu.                                                              [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan negatif jika rasuah tidak dibanteras. Nyatakan kesan- kesan negatif tersebut.                                                                                  [3 markah]
(iii)Usaha untuk menangani gejala rasuah dalam kalangan masyarakat bukanlah suatu usaha yang mudah serta memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.
Pada pendapat anda, apakah nilai-nilai murni yang perlu disemaikan dalam diri setiap anggota masyarakat agar gejala rasuah di negara kita dapat dihapuskan?                                  [4 markah]

LATIHAN 2

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca remaja mesti memilih rakan yang baik dan kesan tersalah memilih rakan sebaya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Permasalahan sosial dalam kalangan remaja dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka sebahagian besar daripadanya berpunca daripada peranan rakan sebaya. Rakan sebaya menjadi pendorong sama ada remaja berdepan dengan masalah sosial atau sebaliknya. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan sebaya ialah orang yang berada dalam lingkungan usia yang hampir sebaya dengan remaja.
            Dalam hal-hal yang berkaitan dengan tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran, dan kemesraan, tindakan remaja dipengaruhi oleh pendapat rakan sebaya yang pengaruhnya lebih ketara berbanding dengan ibu bapa dan keluarga. Situasi inilah yang menimbulkan pergeseran dan konflik yang sambung-menyambung bagai mata rantai antara remaja dengan keluarganya. Sehubungan dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa peranan rakan sebaya sangat dominan dalam pembentukan sahsiah remaja pada hari ini sehingga mengatasi keupayaan ibu bapa untuk membina identiti dan akhlak anak mereka. Pengaruh rakan sebaya menyebabkan mereka mengetepikan ibu bapa sebagai suri teladan apabila rakan sebaya dijadikan sandaran tingkah laku dalam kehidupan. Oleh sebab itu, wajarlah remaja memilih rakan yang positif dalam setiap aspek kehidupan agar dapat mengikut jejak mereka, dan seterusnya memiliki tingkah laku yang positif, demikian juga sebaliknya.
            Rakan sebaya yang terdiri daripada lingkungan latar belakang yang sama dapat mencorakkan identiti atau personaliti seseorang. Dengan itu, tepat sekali jika dikatakan bahawa penerapan nilai dan pembentukan sahsiah didominasi oleh rakan sebaya melalui tingkah laku, nasihat, dan pedoman yang disampaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hal ini amat tepat dengan penyataan bahawa rakan yang kita pilih merupakan cerminan peribadi kita. Jikalau kita bergaul dengan orang yang bijaksana, pasti kita akan memiliki sifat yang demikian. Untuk mencari sahabat yang sesuai, remaja tidak usah tergesa-gesa mahu bersahabat dengan seseorang kerana tindakan itu tidak mendatangkan keuntungan kepadanya. Sehubungan dengan itu, remaja perlu sedar bahawa rakan sebaya akan mencorakkan dimensi diri mereka yang seterusnya. Oleh sebab itu, pilihlah sahabat yang sama pendirian dengan dirinya kerana seseorang itu tidak mahu dipengaruhi oleh tindakan orang lain yang tidak disukainya.
            Jika seseorang itu tidak mempunyai sahabat bererti dia tidak mempunyai apa-apa. Namun demikian, berwaspada dengan sahabat di sekeliling kita serta sentiasalah berpegang pada kepercayaan bahawa sahabat yang terbaik untuk dimiliki oleh setiap individu khususnya golongan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan berperanan sebagai agen peneguhan diri untuk mengharungi pelbagai rintangan kerana rakan sebaya menjadi peneladanan kehidupan, pemikiran, dan tindakan seseorang.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Rakan Sebaya Cerminan kepada Remaja untuk Mendepani Gejala Sosial” Oleh Azhar Salleh, Dewan Siswa, Februari 2017)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata mengikut jejak.                                                         [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa pertimbangan yang harus diambil oleh remaja apabila hendak memilih rakan. Nyatakan pertimbangan-pertimbangan tersebut.                    [3 markah]
(iii)Golongan remaja lebih cenderung menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding dengan orang lain.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang mendorong remaja lebih selesa berada dalam lingkungan rakan sebaya?                                                                                                [4 markah]


LATIHAN 3 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan perniagaan dalam talian dan implikasi perniagaan dalam talian. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mengubah kehidupan manusia yang meliputi budaya berfikir, berkomunikasi, dan membuat keputusan. Perubahan ini membuktikan bahawa kehidupan pada masa ini banyak bergantung pada kesediaan kita memanfaatkan era digital. Apabila TMK mendasari kehidupan, banyak pengguna meletakkan harapan kepada sistem yang digunakan, terutamanya dalam bidang perniagaan Internet.
            Perniagaan Internet yang diterima sebagai kaedah untuk meraih punca pendapatan tidak hanya melibatkan individu malah dimonopoli oleh syarikat gergasi yang mempunyai jaringan perhubungan yang luas dan merentas benua. Dengan perkembangan ini, perniagaan dalam talian menjadi budaya sebahagian masyarakat Malaysia kini. Laporan ekonomi pada tahun 2013/2014 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kadar penebusan jalur lebar isi rumah meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 kepada 70.2 peratus pada Disember 2014. Selain itu, statistik berkenaan memperlihatkan bahawa lebih banyak pengguna Internet di Malaysia merupakan pembeli berbanding dengan penjual, tambahan pula saiz pasaran hampir mencecah RM5 bilion pada tahun 2014. Kajian mengesahkan bahawa kekayaan yang dijanakan oleh perniagaan dalam talian semakin rancak perkembangannya. Tambahan pula, pelan Internet yang kompetitif memudahkan pengguna berurusan dengan peniaga dalam talian.
            Perniagaan Internet mudah dibina dan dijalankan dengan modal yang lebih rendah kerana peniaga tidak perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli aset seperti bangunan, alatan, dan kelengkapan semasa memulakan perniagaan. Lebih-lebih lagi, peniaga dalam talian dapat mengurus perniagaannya sendiri. Wang yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk membeli stok dan kos reka cipta laman sesawang. Yang paling istimewa ialah pelanggan peniaga dalam talian tidak terhad kerana teknologi yang canggih pada masa ini serta telah memberikan manfaat kepada pengguna untuk melayari internet pada setiap masa. Dengan itu, para peniaga dalam talian dapat menjalankan perniagaan 24 jam. Dalam suasana kehidupan masyarakat yang sibuk pada hari ini, mereka kekurangan masa untuk ke pusat beli-belah. Tanpa kunjungan ke pusat beli-belah tersebut, masa yang ada dapat dihabiskan bersama-sama keluarga.
            Perniagaan dalam talian memainkan peranan yang penting pada masa ini. Lebih-lebih lagi, masyarakat kini gemar membuat pembelian secara dalam talian disebabkan mereka mudah berbelanja tanpa perlu mengunjungi pusat beli-belah. Pengguna berasa senang kerana barangan yang ditempah secara dalam talian dapat dihantar melalui pos laju atau penghantaran ke rumah mereka.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Kelebihan Perniagaan dalam Talian” Oleh Ruhaizan Abdullah, Dewan Siswa, Februari 2017)
           
Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata jaringan perhubungan yang luas.                            [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa faktor pengguna kini lebih suka membeli barangan menerusi perniagaan dalam talian. Apakah faktor-faktor tersebut?                         [3 markah]
(iii)Aplikasi Internet menjadi suatu keperluan masyarakat pada masa ini selaras dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. Pada pendapat anda, apakah kepentingan aplikasi Internet kepada masyarakat kini?                                             [4 markah]



LATIHAN 4 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan patriotisme dan faktor golongan muda membelakangkan semangat patriotisme. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Patriotisme ialah semangat cinta akan tanah air yang harus berakar umbi dalam jiwa rakyat, khususnya golongan muda. Cakupannya meliputi perasaan cinta akan negara yang dilahirkan menerusi pelbagai dimensi. Tegasnya, patriotisme mendorong seseorang bekerja keras demi pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Sehubungan dengan itu, perbincangan tentang patriotisme tidak hanya berkisar pada kesediaan untuk menggadaikan nyawa demi negara semata-mata.
            Patriotisme perlu dipupuk sejak kecil agar perasaan cinta akan negara bertapak kukuh dalam sanubari golongan muda kerana merekalah yang akan berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan Malaysia dalam semua aspek. Komitmen setiap anak muda amat penting untuk merealisasikan sikap mencintai negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Proses kehidupan yang dilalui oleh mereka yang kental semangat patriotiknya dapat menerapkan kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang diwarisi selama ini. Menerusi pengukuhan terhadap patriotisme, generasi muda dapat mengekalkan keharmonian dalam kalangan rakyat. Perkara ini dapat dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing kerana sesiapa yang kental semangat pratiotiknya akan berusaha untuk menyerlahkan perasaan itu agar diteladani oleh orang lain. Jika hal ini menjadi amalan anak muda, sudah pasti mereka dapat mengukuhkan kefahaman melalui komunikasi antara kaum kerana mereka berjaya meruntuhkan tembok pemisah antara rakyat. Dengan itu, mereka berdiri di atas landasan yag betul sebagai rakyat yang kesetiaannya terhadap negara tidak berbelah bahagi.
            Generasi muda harapan negara yang mempunyai patriotisme yang kukuh akan bertindak atau kemaslahatan umum dan kesejahteraan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka dapat menghindarkan sikap mementingkan diri sendiri. Individu beginilah yang akan mempertahankan dan mengukuhkan sistem nilai yang sedia ada. Dengan pegangan begitu, golongan muda dapat membuktikan bahawa mereka berpegang pada nilai moral serta mengendalikan konflik secara positif, lebih-lebih lagi bagi negara kita yang memerlukan toleransi daripada pelbagai kaum. Golongan muda yang teguh semangat patriotiknya berupaya untuk mengambil inisiatif bagi mengentalkan hubungan kaum kerana pergeseran sesama rakyat menjadi faktor utama yang membawa kepada kemunduran negara.
            Sehubungan dengan itu, patriotisme harus dilihat daripada pelbagai dimensi kerana terkandung padanya semangat dan aspirasi yang rencam. Tindakan menjulang patriotisme hendaklah mencapai tujuannya, iaitu menjunjung kemerdekaan negara dengan memanfaatkan ilmu pengetahuan dan fikiran, jauh sekali daripada menuding jari kepada orang lain. Sebenarnya, inilah tanggungjawab setiap individu kerana semangat patriotik menjadi pelengkap yang mengikat seluruh kepentingan rakyat menerusi sumbangan dan pengorbanan masing-masing kepada negara.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Perkukuh Patriotisme” Oleh Mohamad Abdullah, Utusan Malaysia, September 2016)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata menuding jari.                                                          [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa manfaat sekiranya generasi muda mempunyai semangat patriotik yang kental. Apakah manfaat-manfaat tersebut?                                        [3 markah]
(iii)Ketiadaan semangat patriotik dalam kalangan rakyat akan mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat?[4 markah]


LATIHAN 5

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kaedah-kaedah memperkasakan bahasa kebangsaan dan kesan peminggiran bahasa kebangsaan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semakin hari semakin banyak pihak yang memperkatakan nasib dan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kita ada kecenderungan untuk terus bertanya, adakah cukup hanya undang-udang dan perlembangan negara berperanan sebagai alat untuk meletakkan bahasa kebangsaan pada kedudukan yang wajar? Kita merasakan bahawa undang-undang sahaja tidak memadai untuk tujuan tersebut. Oleh sebab itu, hendaklah ditanamkan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk meneruskan kecemerlangan bahasa kebangsaan. Generasi muda ini hendaklah mempunyai wawasan untuk meneruskan legasi dan menegakkan kedaulatan bahasa rasmi itu.
Kita menyandarkan harapan yang sangat besar agar generasi muda bekerja keras untuk meningkatkan martabat bahasa kebangsaan. Apabila kita mengakui bahawa bahasa itu jiwa bangsa, maka kita akan memikul tanggungjawab untuk membawa generasi muda agar mencintai bahasa kebangsaan, dan seterusnya kembali kepada fitrah bangsa. Sehubungan dengan itu, tindakan drastik dilakukan untuk meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa elit di Malaysia kerana selama ini rakyat memandang bahasa Inggeris dengan penuh bangga di samping meremehkan bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, generasi muda hendaklah menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan komunikasi daripada sekecil-kecil perkara dalam pergaulan hingga meliputi semua urusan pentadbiran. Dalam hal ini, hendaklah dielakkan penggunaan bahasa rojak dalam pergaulan. Jika hal ini terus berlaku, kita mempunyai bangsa yang sangat rapuh aspek kebahasaan mereka.
Dalam bidang keilmuan pula, bahasa kebangsaan dinobatkan sebagai teras sistem pendidikan negara. Perkara ini tidak boleh ada tolak ansur seandainya kita mahu membina sebuah negara bangsa yang berbudaya dan bertamadun. Kita tidak wajar mengizinkan bahasa asing menghakis kepentingan bahasa kebangsaan. Jika dibiarkan saiz hakisan itu kian membesar dan terus merebak daripada individu kepada individu, hal ini akan melibatkan organisasi dan negara. Oleh sebab itu, generasi muda mendukung wawasan untuk mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sesuai dengan tuntutan masa. Sehubungan dengan itu, perlu ada tindakan jitu untuk memperkukuh perasaan megah terhadap bahasa kebangsaan. Dengan itu, peranan bahasa kebangsaan dapat disemarakkan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.
Seseorang yang menamakan dirinya sebagai warganegara Malaysia mestilah ikhlas dan jujur untuk menjunjung tingga perlembagaan negara dan taat setia kepada tanah tumpah darah ini. Dia mestilah fasih menguasai bahasa kebangsaan kerana bahasa tersebut membawa bersama-samanya sifat kepunyaan dalam jiwa setiap warganya kerana merekalah yang akan memastikan perlembagaan terpelihara keluhurannya. Hal ini dikatakan demikian kerana dokumen keramat ini turut memastikan maruah bahasa dipertahankan di bawah Perkara 152 yang menekankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Bersepakat Mendaulatkan Bahasa Melayu” Oleh Alias Ismail, Dewan Budaya, Januari 2017)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata fitrah bangsa.                                                           [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan negatif jika rakyat mengagung-agungkan bahasa asing. Nyatakan kesan- kesan negatif tersebut.                                                             [3 markah]
(iii)Sebagai rakyat yang cinta akan negara, kita hendaklah mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Pada pendapat anda, apakah kelebihan-kelebihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia?                                     [4 markah]


LATIHAN 6

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor obesiti dan langkah untuk menangani masalah obesiti. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Obesiti berkaitan dengan pengumpulan lemak yang menimbun di dalam badan seseorang. Kegemukan ditakrifkan sebagai penyakit dan dianggap lebih serius apabila mengganggu dan mencederakan organ-organ badan hingga menyebabkan masalah kesihatan. Hal ini disebabkan seseorang itu terlalu memanjakan tubuh dan tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal. Individu yang mengalami obesiti tidak menikmati kehidupan mereka dengan sepenuhnya kerana badan terlalu berat, di samping mengalami tekanan akibat perasaan malu dan rendah diri.
            Obesiti berpunca daripada gaya hidup tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan kerana pengambilan makanan yang berlemak da terlalu manis. Hal ini tidak dipandang serius dan makanan diambil secara berlebihan kerana mereka beranggapan bahawa makanan itu tidak menjejaskan kesihatan serta sudah terbiasa begitu. Selain itu, nasib mereka bertambah malang apabila mengamalkan sikap malas dan tidak suka bersenam. Hal ini menyebabkan lemak yang berkumpul itu menjadikan badan yang kecil semakin tembam, gempal, dan gemuk sehingga mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial. Golongan yang terlalu memanjakan badan ini, bergerak ke mana-mana pun menggunakan kenderaan hingga tidak memberikan peluang kepada badan untuk berpeluh kerana berpeluh dianggap merimaskan manakala badan berasa melekit.
            Kita tidak menafikan bahawa manusia memerlukan makanan yang berkhasiat sebagai sumber tenaga dan tumbesaran selain mengekalkan kesihatan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat sebahagian daripada mereka yang tidak mengambil makanan seimbang berdasarkan piramid makanan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan orang tidak dapat mengawal nafsu makan dan rakus melahap makanan. Oleh sebab itu, sangat wajar kita tidak gelojoh apabila berhadapan dengan makanan. Perkara itu agak sukar bagi sesetengah orang tetapi keinginan itu tidak wajar dilayan kerana makin kerap seseorang itu makan dengan kadar yang banyak akan memudahkannya berhadapan dengan penyakit kronik yang berkaitan dengan obesiti. Golongan yang terlibat ini sebahagian besar daripadanya tidak mematuhi nasihat pakar kesihatan khususnya dalam hal yang berkaitan dengan pemakanan terutama makanan kegemaran mereka.
            Masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini tidak wajar dipandang ringan kerana hal ini akan mendatangkan pelbagai kesan kepada negara. Kita harus berpandangan positif bahawa usaha mengelakkan obesiti bukanlah sesuatu yang sukar kerana kita sendiri yang akan menentukannya. Perkara ini tidak dapat diatasi jika kita tidak berkata “tidak” kepada penyebab obesiti dalam kehidupan harian hingga memudaratkan kesihatan.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Antara Kemewahan dan Obesiti” Oleh M. Jasni Majed, Utusan Malaysia, Ogos 2016)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata dipandang ringan.                                                    [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan negatif yang dihidapi oleh seseorang berpunca daripada obesiti. Nyatakan kesan- kesan tersebut.                                                         [3 markah]
(iii)Tabiat makan secara berlebihan dan tidak terkawal dikatakan menjadi punca utama masalah obesiti dalam kalangan masyarakat.
Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang mendorong seseorang itu makan secara berlebihan?                                                                                                                      [4 markah]



LATIHAN 7

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan-kebaikan amalan bersenam dan halangan untuk melakukan senaman. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Tahap peratusan individu yang tidak bersenam dan melakukan aktiviti fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi. Pelbagai usaha dijalankan untuk menerapkan amalan bersenam dalam masyarakat tetapi masih belum mencapai matlamatnya. Oleh sebab itu, pengukuhan sikap dan minat bersenam hendaklah disemaikan sejak zaman kanak-kanak dan sentiasa diberi peneguhan supaya amalan itu mendarah daging dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti fizikal ialah satu keutamaan untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan hidup. Sehubungan dengan itu, aktiviti ini tidak boleh diabaikan sekalipun usia kita sudah meningkat.
            Aktiviti senaman yang berterusan mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Aktiviti fizikal ini dapat menghindarkan seseorang daripada menghidapi risiko penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, kegemukan, dan tekanan darah tinggi. Selain itu, aktiviti bersenam mempunyai manfaat terhadap kesihatan emosi individu. Dapatan kajian saintifik menunjukkan bahawa mereka yang banyak bersenam kurang berhadapan dengan gejala emosi yang kian ketara kebelangan ini. Gangguan emosi menyebabkan penurunan fungsi kehidupan seseorang seperti hilang minat terhadap aktiviti harian. Menerusi senaman, pencegahan penyakit-penyakit fizikal dan mental dapat dicapai dengan berkesan. Oleh sebab itu, dapatlah dikatakan bahawa seseorang yang tidak bersenam mudah diganggu emosi tidak menentu seperti terjebak dalam suasana berasa diri tidak berguna.
            Penglibatan dalam aktiviti fizikal seperti senaman secara berterusan dapat menyumbangkan manfaat terhadap fungsi badan dan minda individu itu secara menyeluruh untuk menjalankan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan harian. Apabila senaman diadakan secara berkumpulan, hal ini akan mengeratkan hubungan sosial sesama ahli dalam kumpulan berkenaan. Tambahan pula, apabila aktiviti senaman dilakukan secara demikian, seseorang itu dapat menghabiskan masa di luar rumah dengan bermanfaat daripada terperuk sahaja di rumah dan menghabiskan masa dengan bermain permainan video terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Golongan ini haruslah diberikan kefahaman untuk bersenam akan mengelakkan seseorang daripada berhadapan dengan ancaman penyakit kronik yang dihadapi oleh masyarakat seperti berhadapan dengan tekanan perasaan.
            Jelaslah bahawa bersenam merupakan suatu komponen gaya hidup sihat. Oleh sebab itu, kebaikan yang diperoleh daripada aktiviti ini tidak dapat dipertikaikan. Kebaikannya merangkumi aspek fizikal, sosial, psikologikal, dan intelektual. Namun demikian, peratusan individu yang menjadikan senaman sebagai amalan harian masih rendah.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Peranan Bantu Ingatkan Tabiat Bersenam” Oleh Hairul Anuar Hashim, Utusan Malaysia, September 2016)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata mendarah daging.                                                    [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan negatif yang berpunca daripada gangguan emosi. Nyatakan kesan- kesan negatif tersebut.                                                                        [3 markah]
(iii)Sebilangan besar daripada masyarakat Malaysia masih memandang remeh terhadap kepentingan menjadikan senaman sebagai amalan dalam menjalani kehidupan seharian.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang patut dilakukan untuk membuka mata masyarakat agar mengutamakan senaman walaupun dalam kesibukan mereka dengan pelbagai aktiviti harian?                                                                                                         [4 markah]



LATIHAN 8

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat-manfaat hobi dalam kehidupan dan punca hobi sering diabaikan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Hobi ialah aktiviti rekreasi yang dilakukan pada waktu senggang untuk menenangkan fikiran. Tujuan hobi adalah untuk memenuhi minat dan keseronokan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang hobi dapat bertukar menjadi punca pendapatan. Walau apa-apa sekalipun alasannya, hobi yang dilakukan oleh seseorang itu pasti dapat mengisi masa lapangnya dengan melakukan aktiviti yang berfaedah kerana menerusi hobi, seseorang itu akan banyak memperoleh kebaikan.
            Kejayaan untuk mencapai dan memenuhi kepuasan menerusi hobi merupakan satu perkara yang dapat menggembirakan seseorang kerana bagi sesetengah orang, aktiviti itu dapat menggembirakan mereka. Tambahan pula, kegiatan itu dapat merehatkan minda dan memenuhi kepuasan diri kepada individu itu sendiri. Sebagai contohnya, hobi memikat burung dan memancing yang menjadi kegemaran kepada sesetengah orang tetapi dipandang sebagai minat yang tidak berfaedah oleh pihak lain. Selain itu, sesetengah hobi menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan kepada penggemarnya. Sebenarnya, masih banyak lagi hobi yang dilakukan bagi mengisi masa lapang khususnya hobi secara berkumpulan. Lantaran itu, mereka dapat membentuk persefahaman dan kerjasama sesama sendiri kerana mereka mempunyai minat dan kecenderungan yang sama.
            Sesetengah orang pula beranggapan bahawa hobi seperti megumpulkan setem bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi membolehkan mereka membina rangkaian persahabatan dengan teman-teman dari luar dan dalam negara kerana mempunyai hobi yang sama. Bagi sesetengah pihak yang melihat hobi dari perspektif yang khusus pula, mereka beranggapan bahawa personaliti seseorang itu dapat ditentukan melalui hobinya. Dari sudut yang lain pula, hobi dapat membantu kita untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Seseorang yang mempunyai hobi bersukan seperti bermain bola sepak, badminton, sepak takraw, dan berbasikal pasti menggunakan masa yang terluang untuk melakukan aktiviti kegemaran mereka. Selain membentuk ketahanan fizikal dan mental, hobi bersukan dapat mendisiplinkan diri dari segi etika seperti berpakaian, mematuhi peraturan jalan raya, dan meningkatkan semangat berpasukan. Sementara bagi golongan remaja pula, kegiatan dalam hobi tertentu dapat mengelakkan mereka daripada melakukan aktiviti tidak sihat yang tidak memberikan manfaat kepada mereka.
            Sebuhungan dengan itu, apa-apa sahaja hobi yang dilakukan sama ada secara percuma ataupun yang melibatkan kos perlu diteruskan kerana mempunyai manfaat yang bukan sedikit kepada penggemarnya. Hakikatnya, hanya penggemar sesuatu hobi yang lebih mengetahui nilai dan kepentingan hobi tersebut. Selain itu, bagi sesiapa sahaja yang tidak mempunyai hobi tertentu, eloklah mereka berjinak-jinak dengannya terutamanya bagi golongan remaja.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Kenali Personaliti Melalui Hobi” Oleh Nizar Parman, Dewan Siswa, Oktober 2016)

Soalan - Petikan Umum

(i)Berikan maksud rangkai kata berjinak-jinak dengannya.                                        [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa tujuan yang menyebabkan seseorang itu bergiat dalam sesuatu hobi. Apakah tujuan-tujuan tersebut?                                                           [3 markah]
(iii)Hobi yang menjadi pilihan seseorang jelas terbukti dapat memberikan manfaat yang pelbagai kepada mereka. Pada pendapat anda, apakah perkara-perkara yang perlu dititikberatkan oleh seseorang itu untuk memilih sesuatu hobi sebagai kegiatan pengisi masa lapang mereka     ?                                                                                                          [4 markah]