Wednesday, 8 December 2021

RUMUSAN BAHAGIAN C (SET 4) - KLON SVM SEMESTER 1, 2, 3, 4

 Soalan 9: Rumusan (30 Markah)


Baca petikan dan teliti akhbar yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Bahan 1 - Petikan


Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan jumlah penganggur pada Mac 2020 meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan yang sama pada tahun 2019. Kadar pengangguran yang direkodkan itu paling tinggi sejak 34 tahun lepas. Kadar pengangguran tertinggi Malaysia yang pernah dicatatkan sebelum ini ialah 7.4 peratus pada tahun 1986.

Dalam soal ini, ternyata bahawa COVID-19 memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi apatah lagi pengangguran yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai. Pencari-pencari pekerjaan juga menjadi lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan ditambah pula dengan mereka yang diberhentikan kerja sejak penularan COVID-19 berlaku. Di samping itu, tidak kurang pula beberapa jenis perniagaan yang terpaksa gulung tikar kesan daripada pandemik ini. Kawasan-kawasan pelancongan tidak dapat beroperasi dan banyak jenis pekerjaan yang berkaitan dengan industri itu terpaksa dihentikan. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan sudah tentu memberi kesan yang besar terutamanya tekanan kepada seseorang individu atau keluarga. Selain itu, ia turut memberi kesan kepada peningkatan masalah sosial di segenap tempat yang terjejas dengan pandemik COVID-19 ini. Masalah jenayah juga dianggap akan menjadi bebanan kepada masyarakat memandangkan ramai yang diberhentikan kerja dan tidak memperoleh pekerjaan.

dalam soal ini, kerajaan diharap dapat menaikkan semula keyakinan rakyat dengan mengambil inisiatif membantu penduduk tempatan yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Oleh itu, tenaga pekerja tempatan mestilah diberi peluang seluas-luasnya bekerja dalam sektor yang sebelum ini dikawal oleh pekerja asing. Pengambilan pekerja asing mestilah dikurangkan. Malah ramai pekerja asing yang sudah balik ke negara mereka dan sukar datang ke sini lagi. Peluang ini mestilah direbut oleh warga tempatan untuk mengisi pekerjaan yang ditinggalkan oleh pekerja asing. Oleh hal demikian, penduduk tempatan tidak perlu lagi memilih pekerjaan terutamanya sektor 3D, iaitu kerja sukar, berbahaya dan kotor yang selama ini dimonopoli oleh pekerja asing. Sekiranya sikap ini masih kekal, bermakna kadar pengangguran di negara kita akan tetap bertahan dan tidak hairanlah jika suatu masa nanti pekerjaan-pekerjaan itu akan diisi oleh warga asing semula selepas pandemik ini berakhir.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Awas Kesan Domino Pengangguran”, Sinar Harian, 12 Mei 2020)


Bahan 2 - Keratan Akhbar


Lebih 800,000 individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik COVID-19. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kerajaan sedar ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19.

“Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800,000 orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” kata Perdana Menteri.


(Dipetik dan diubah suai daripada “800,000 Hilang Pekerjaan Sejak COVID-19 Melanda,” Berita Harian, 31 Oktober 2020)