Friday, 17 November 2017

Latihan Rumusan EDISI 1 (Kolej Vokasional - Semester 3)



LATIHAN 1 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kaedah-kaedah rawatan bagi jangkitan influenza A H1N1 dan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan penularannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

        Influenza A H1N1 ialah kuman selsema yang biasa dalam persekitaran babi. Wabak H1N1 dalam kalangan babi pernah dilaporkan sebelum ini. Kali pertama influenza A H1N1 dikesan pada babi adalah tahun 1930. Namun, jenis virus influenza A H1N1 yang terbaru ini tidak dapat dipastikan asal usulnya. Kemungkinan berlaku percampuran genetik antara virus daripada burung, babi, dan manusia di Amerika Utara. Perkara ini dilaporkan sebagai selsema babi pada 24 April 2009. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukarkan istilah ini kepada influenza A H1N1 supaya lebih menggambarkan penyebab sebenar kepada wabak selsema ini.
       Sehingga 16 Ogos 2009, Kementerian Kesihatan melaporkan kematian yang berkaitan dengan jangkitan influenza A H1N1 ialah 59 kes. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan beberapa kes masih dirawat di unit rawatan rapi serta wabak ini masih di peringkat awal. Jumlah mangsa yang dipastikan dijangkiti virus H1N1 melalui ujian makmal sehingga kini adalah sekitar 2000 orang. Jumlah yang dipastikan dijangkiti virus H1N1 adalah lebih kecil daripada jumlah sebenar kerana ujian makmal dilakukan untuk kes yang teruk sahaja. Melihat kepada keadaan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa H1N1 merupakan satu bencana yang dahsyat memandangkan bencana lain seperti banjir, tanah runtuh, dan sebagainya hanya meragut nyawa dalam jumlah yang kecil.
         Secara umumnya,pesakit dengan gejala ringan dan tidak mempunyai penyakit sampingan hanya memerlukan rawatan untuk gejalanya, iaitu demam, batuk, dan selsema. Pesakit juga perlu banyak minum air dan makan buah-buahan. Pesakit yang menghidap gejala selsema perlu memakai topeng muka dan mengelakkan diri daripada berkunjung ke tempat awam. Bagi individu yang disyaki dijangkiti virus maut ini, mereka dinasihati menjalankan kuarantin diri di rumah dan memerhati perkembangan simptom penyakit tersebut pada diri masing-masing. Pesakit-pesakit yang mempunyai penyakit sampingan seperti penyakit respiratori (asma, penyakit paru-paru kronik), obesiti, kurang daya imuniti, kanser, diabetes, penyakit jantung mahupun ibu yang hamil perlu mendapatkan rawatan antivirus lebih awal. Pesakit yang dijangkiti virus ini dinasihati agar berhenti merokok kerana perbuatan ini mendatangkan mudarat kepada mereka. 
       Kakitangan perubatan yang merawat pesakit diberi antivirus bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus ini. Pihak Kementerian Kesihatan terus memantau keadaan ini dan kumpulan sasar antivirus akan berubah mengikut keperluan semasa. Misalnya, pesakit kanak-kanak berumur kurang daripada lima tahun dan pesakit yang mendapat demam berterusan lebih dari tiga hari perlu mendapat rawatan antivirus. Pesakit yang berisiko mendapat komplikasi sederhana dan teruk diberi rawatan di dalam wad. Pesakit yang menghidap gejala ringan tidak memerlukan rawatan khusus. Pertimbangan ini dibuat berdasarkan kemudahan kesihatan yang terhad dan kakitangan hospital yang berkhidmat melampaui kemampuan mereka. Sudah pasti kakitangan kesihatan tidak mempu memeriksa setiap pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan dengan teliti. Namun begitu, sekiranya terdapat tanda amaran, mereka yang menghidap gejala ringan ini perlu diperiksa dan rawatan dengan sempurna. 
         
(Dipetik dan diubah suai daripada 'H1N1 - Apa Anda Perlu Tahu?' oleh Dr. Zakuan Zainy Deris, Mingguan Malaysia.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata pencampuran genetik. [2 markah]
(ii)Mengapakah H1N1 dikatakan suatu bencana yang dahsyat kepada negara kita?
     Berikan tiga sebab berdasarkan petikan tersebut. [3 markah]
(iii)Jelaskan empat faktor yang mendorong penyebaran penyakit H1N1 di negara kita. [4 markah]


LATIHAN 2 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memajukan sektor pertanian dan kesannya kepada ekonomi negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

         Sebelum ini banyak orang yang pernah menjangkakan bahawa senario pembangunan sektor pertanian akan berubah dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) selaras dengan kemajuan sektor-sektor lain. Namun, jangkaan ini nampaknya meleset sebagai akibat daripada kemerosotan daya pengeluaran dan pemasaran, ditambah lagi dengan kejatuhan harga komoditi eksport negara seperti getah dan kelapa sawit. Secara keseluruhan, masalah ini harus dilihat secara kolektif dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kerjasama dan penyertaan semua pihak. Jika diselidiki degan lebih jauh, masalah ini berpunca daripada kurangnya penglibatan secara serius dan proaktif pelbagai pihak, khususnya pihak swasta. Hal ini demikian kerana dalam era teknologi dan perindustrian moden, sektor pertanian dianggap antara sektor yang tidak membawa keuntungan malah mendatangkan kerugian. Secara tidak langsung, sektor pertanian disalah anggap sebagai sektor yang konservatif, kekampungan, dan seterusnya kurang diceburi oleh ramai orang.
       Dalam hal ini, sudah sampai masanya pihak kerajaan memajukan dan menggalakkan penggunaan alat berteknologi tinggi dan moden untuk memajukan pertanian negara. Kerajaan juga melalui agensi tertentu menyalurkan maklumat menyeluruh tentang penggunaan dan peralatan berteknologi moden ini kepada petani. Hari ini, peladang dan pekebun kecil masih terus menggunakan alat-alat tradisional. Hal ini menyebabkan pengeluaran getah dan kepala sawit negara kurang produktif, dalam masa yang sama terpaksa menampung bebanan tenaga kerja yang banyak.
        Selain sektor pertanian dilengkapkan dengan peralatan yang moden dan canggih, kerajaan juga membantu untuk memaksimumkan penggunaan hasil pertanian negara dengan cara memanfaatkan sisa buangan hasil pertanian. Dalam hal ini, kerajaan membiayai kos penyelidikan kitar semula sisa buangan pertanian. Sisa buangan ini tentu mempunyai potensi untuk dikembangkan jika kerajaan memberikan galakan dengan membiayai penyelidikan yang berkaitan agar hasilnya nanti dapat dikomersialkan pada skala yang lebih besar. Secara tidak langsung, usaha ini mempelbagaikan pengeluaran komoditi eksport negara khususnya yang berasaskan kelapa sawit.
        Satu lagi usaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam sektor pertanian ini adalah dengan meningkatkan penyertaan orang ramai untuk sama-sama menceburkan diri dalam bidang pertanian. Antara kaedah yang berkesan termasuklah menjalankan kempen secara meluas meliputi semua peringkat sosial masyarakat dan melibatkan semua pihak. Agensi yang dipertanggungjawabkan harus memainkan peranan secara berkesan agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jadi, kempen yang dianjurkan diharap tidak sekadar “melepaskan batok di tangga”. Sesungguhnya sekarang merupakan masa untuk kita bertindak dan mengatur strategi, bukanlah masa untuk menuding jari, menyalahkan pihak lain atas pencapaian yang kurang memuaskan pada masa lalu.


(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Menyelesaikan Dilema Pertanian’ oleh Mukhzeer Mohamad Shahimin, Dewan Masyarakat.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata senario pembangunan. [2 markah]
(ii)Mengapakah sektor pertanian kurang memberangsangkan dari segi pengeluaran dan pemasaran Kemukakan tiga sebab. [3 markah]
(iii)Cadangkan empat langkah untuk menggalakkan lepasan IPT menceburkan diri dalam sektor pertanian. [4 markah]


LATIHAN 3 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pelajar bumiputera kurang berminat untuk melnajutkan pelajaran di IPTS dan langkah-langkah untuk mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

         Kemunculan institusi pendidikan swasta (IPTS) yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan memberikan peluang yang luas kepada golongan pelajar untuk terus bersaing dalam era globalisasi. Sememangnya pendidikan memainkan peranan yang sangat penting kepada seseorang individu agar dapat membina ummah yang maju dan bermoral. Berdasarkan statistik yang ada, sehingga tahun 2007 terdapat lebih daripada 568 buah IPTS di seluruh negara. Situasi ini tentunya membuka peluang seluas-luasnya kepada pelajar-pelajar untuk melanjutkan pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, bagi pelajar yang tercicir, IPTS merupakan institusi yang menyediakan peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran.
       Namun begitu, bilangan pelajar bumiputera yang menerima pendidikan di IPTS sekarang ternyata kecil, iaitu sekitar 20% daripada puluhan ribu pelajat IPTS di Malaysia. Mengapakah fenomena ini terjadi? Antaranya disebabkan oleh kekeliruan sama ada di pihak pelajar mahupun ibu bapa terhadap IPTS. Selain itu, kadar yuran yang dianggap lebih tinggi berbanding dengan kadar yuran di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dikenal pasti sebagai faktor pelajar bumiputera kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran di IPTS. Malahan, kaum bumiputera khususnya orang Melayu masih tidak sanggup berkorban untuk melabur dalam bidang pendidikan. Prioriti mereka lebih tertumpu kepada peningkatan taraf ekonomi keluarga. Oleh sebab itu, pelaburan dalam bidang pendidikan menjadi keutamaan sampingan mereka. Selain itu, pelajar bumiputera juga begitu menimbangkan pelbagai perkara sebelum memilih IPTS seperti memikirkan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh mereka selepas tamat pengajian disebabkan kadar yuran yang mahal berbanding dengan kadar yang dicajkan oleh IPTA.
         IPTS juga sering digembar-gemburkan dengan keadaan kekurangan kemudahan yang lengkap seperti dewan kuliah, pusat sukan, kemudahan makmal, dan perpustakaan yang selesa. Begitu juga dengan kualiti akademik yang ditawarkan didakwa tidak menurut piawaian sebenar. Misalnya, untuk memastikan pelajar IPTS itu berjaya, kemungkinan sukatan yang diajarkan dan soalan peperiksaan yang diberikan tidak menepati tahap yang selayaknya. IPTS juga mengurangkan kos dengan mengambil pensyarah yang baru tamat pengajian mereka. Natijahnya, banyak tenaga pengajar IPTS yang kurang pengalaman dan terlatih. Hal ini tentulah akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar itu sendiri.
          Pelajar bumiputera juga kurang yakin terhadap peluang kerjaya yang bakal diperoleh mereka. Hal ini demikian kerana persaingan daripada graduan IPTA dan lepasan pelajar luar negara amat merisaukan mereka. Hal ini ditambah lagi dengan sebilangan IPTS yang membawa imej yang kurang baik di sektor awam mahupun di sektor swasta. Keadaan ini menyukarkan pihak majikan untuk menerima mereka sebagai pekerja. Kekeliruan pelajar dan ibu bapa perlu diubah demi kepentingan pelajar bumiputera itu sendiri khususnya dan negara amnya.


  (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kekeliruan Mengenai IPTS’ oleh Nazri Muslim, Dewan Masyarakat.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata pelaburan dalam bidang pendidikan. [2 markah]
(ii)Nyataka tiga kebaikan penubuhan IPTS kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk memastikan IPTS mendapat sambutan daripada pelajar bumiputera? [4 markah]


LATIHAN 4 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha memantapkan jati diri remaja dan faedah-faedahnya kepada masyarakat di negara ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

        Fenomena mutakhir menunjukkan kesedaran masyarakat tentang betapa perlunya membentuk remaja yang mempunyai jati diri dalam menempuh abad ke-21. Sebenarnya remaja Malaysia sudah bersedia untuk mengikut arus perdana perubahan negara dan seterusnya memimpin peradaban dunia. Kekuatan jati diri remaja menjadi banteng ketahanan sesuatu bangsa. Dalam konteks Malaysia khususnya, golongan remaja berperanan untuk mencetuskan citra perjuangan dan menawarkan nilai kepimpinan yang unggul dari semasa ke semasa. Menerusi rentetan sejarah, terbukti peranan golongan muda dalam kelangsungan pembinaan umat di Malaysia.
         Namun kenyataannya dalam keadaan masyarakat yang berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi digital pada hari ini, perancangan untuk menyediakan model jati diri golongan remaja yang kental bagi mewarisi kepimpinan dan mengurus kejayaan negara kelak belum cukup. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan jka ingin menyediakan pemimpin negara masa depan. Program khusus seperti Rakan Muda diperluas fungsinya dan perlu disokong, malah usaha yang dilakukan perlu melangkau batas itu agar kelas seumpama itu dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan. Kerajaan bertindak secara rasional dan teliti dalam menggariskan dasar kebudayaan negara untuk menjadi panduan kepada generasi muda. Langkah tersebut akan lebih berkesan apabila kerajaan mengambil tindakan untuk menapis kuman budaya asing daripada terus menyerang golongan remaja.
          Artis berperanan sebagai suri teladan. Kita yakin bahawa pada golongan artis terdapat ciri-ciri positif yang dapat dicontohi. Bakat dan kemahiran seni mereka hendaklah dijurus kepada kebaikan. Dalam hal ini, ikutan para remaja hendaklah pelbagai, terutamanya pada mereka yang telah terbukti unggul peribadinya.hal ini demikian kerana identiti remaja perlu diwarisi antaranya daripada ketokohan ilmuwan, ahli sukan yang bersemangat waja, ataupun pejuang bangsa. Program Bina Sahsiah Islam yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini dapat mencapai hasrat untuk mendidik para remaja agar selari dengan sahsiah dan akhlak yang mulia.
          Kerajaan juga mengkaji dan mengambil tindakan terhadap kebanjiran pusat hiburan dan pusat permainan video yang kian banyak jumlahnya. Jika kita benar-benar serius ingin mewujudkan Malaysia sebagai negara maju berasaskan model dan acuan tersendiri, maka agak menghairankan apabila pusat hiburan sebegini tumbuh melata. Selain itu, kemantapan golongan remaja dan kemampuan mereka untuk memajukan Malaysia kelak bergantung pada sejauh mana mereka dapat dibimbing dalam mengurus budaya dan nilai yang diimport dari luar. Usaha untuk mendedahkan remaja tentang peranan mereka pada masa hadapan adalah tugas berat setiap pihak yang sedar akan masalah dan keruwetan isu yang bersifat global. Malah, usaha membina jati diri remaja untuk menghadapi cabaran masa hadapan sebagai akibat rempuhan pemodenan tidak akan sempurna jika kita tidak menyedarkan mereka tentang kedudukan Malaysia dan peranannya pada peringkat serantau dan seantero dunia.

 (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Jati Diri Remaja Abad Ke-21 Penentu Masa Hadapan Negara’ oleh Azril Mohd. Amin, Dewan Siswa.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata kuman budaya asing. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa peranan remaja yang menjadi kekuatan negara. Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii)Sebagai remaja yang berwawasan, jelaskan empat persediaan yang perlu anda lakukan untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. [4 markah]


LATIHAN 5 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan-kebaikan laman blog kepada pengendali laman blog dan usaha-usaha menggalakkan remaja memiliki laman blog sendiri. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

         Blog ialah singkatan daripada blog web – istilah yang pertama kali digunakan oleh Jorn Barger pada penghujung tahun 1997. Beliau menggunakan istilah blog web peribadi, yang sering mengemaskinikan catatan mereka secara berterusan.
       Blog merupakan cara yang mudah untuk mengenal peribadi pemiliknya atau kecenderungan pemiliknya menulis tentang sesuatu isu. Menulis blog atau memblog pada setiap hari akan menjadikan pengendali blog lebih yakin pada diri melalui pandangan yang diutarakannya. Apabila sering melahirkan buah fikiran dalam blog, mereka bukan sahaja mampu menjanakan pemikiran secara terbuka dan kritis, tetap juga menjadi terapi yang sihat kepada minda.
         Dalam meneliti kebanyakan laman blog yang ada pada hari ini, penyertaan remaja amat kurang. Jarang-jarang sekali dapat ditemukan laman blog yang dikendalikan oleh remaja. Jika ada pun, jumlahnya amat kecil. Remaja pada hari ini perlu memanfaatkan perkembangan blog untuk menjanakan pemikiran yang lebih positif, terutama pelajar pusat pengajian tinggi. Blog dapat dijadikan sebagai saluran komunikasi untuk meluahkan pendapat yang bernas tentang sesuatu isu yang sememangnya menuntut pemikiran yang matang dan kritis selaras dengan status mereka sebagai pelajar pusat pengajian tinggi, iaitu generasi pemimpin masa depan.
      Jika pandai memanfaatkan perkembangan teknologi pada hari ini, laman blog juga dapat dijadikan ruang untuk memperoleh pendapatan dengan cara yang mudah. Hal ini demikian kerana berkembangnya sistem pemasaran di alam siber menjadikan blog sebagai medium yang amat berguna bagi sesiapa yang ingin mengiklankan produk masing-masing. Laman blog juga lebih mudah untuk dikelolakan berbanding dengan laman sesawang yang agak sukar dikendalikan.
        Blog menjadi saluran altenatif yang paling berkesan untuk menyuarakan pandangan dan berdebat tentang sesuatu isu darpada pelbagai perspektif. Kita bebas menyuarakan pandangan dan pendapat tentang sesuatu isu asalkan tidak menyalahi undang-undang, misalnya tulisan yang berunsur fitnah dan hasutan. Melalui komen yang diberikan oelh pengunjung, laman blog menjadi medium paling berkesan untuk berkongsi pelbagai pendapat dan pandangan, sekali gus menjadikan seseorang pengendali laman blog lebih peka dan terbuka baik dari segi pemikiran mahupun pandangannya.

 (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Ledakan Blog: Dimanakah Remaja?’ oleh Muhamad Irfan, Dewan Siswa.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata medium paling berkesan. [2 markah]
(ii)Nyatakan tiga kelebihan jika pengendali laman blog menulis di blognya pada setiap hari. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilaksanakan agar remaja kita tidak terbabit dengan penyalahgunaan laman blog?[4 markah]


LATIHAN 6 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan-keistimewaan bangunan hijau dan usaha-usaha kerajaan untuk menjayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

        Bangunan hijau ialah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi bermula daripada lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga ke peringkat pengubahsuaian. Teknologi hijau dibangunkan untuk mengurangkan kesan kepesatan pembangunan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Lantaran itu, bangunan hijau memberikan tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air, dan bahan mentah.
          Banyak pihak yang tidak mengetahui bahawa Malaysia mempunyai bangunan hijau sejak 2005. Bangunan Gtower yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold daripada Building and Construction Authority of Singapore (BCA) pada 2005. Penciptaan bangunan hijau merupakan inovasi baharu yang bukan sahaja memberikan kebaikan kepada alam sekitar, tetapi juga memberikan kesan yang positif kepada ekonomi, khususnya melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengurangkan kos operasi dan memulihara alam sekitar. Kesan kos operasi yang rendah juga dapat meningkatkan nilai hak milik bangunan hijau.
       Bangunan hijau turut mempunyai kawalan suhu dan pengalihudaraan terhadap peningkatan pencahayaan. Hasilnya, bangunan hijau dapat menjaga kesihatan penghuni di dalam bangunan tersebut yang berpunca daripada ketidakstabilan suhu persekitaran dan pendedahan sinaran ultra yang bahaya. Persoalannya, mengapakah pemaju dan pemilik bangunan di negara ini masih kurang berminat untuk membina bangunan hijau? Tidak dinafikan bahawa membina sebuah bangunan hijau memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding dengan bangunan biasa. Setelah menyedari hal tersebut, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan bangunan hijau di negara ini. Inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat menambah baik komitmen dalam kalangan pemaju untuk membina bangunan yang bukan sahaja berkualiti, malah mengekalkan kehijauan dalam Bandar.
        Satu contoh kejayaan konsep ini adalah apabila Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) berjaya membangunkan bangunan yang berkonsepkan teknologi hijau, iaitu Platinium Sentral. Kejayaan Platinium Sentral diharapkan dapat menarik lebih banyak pemaju hartanah untuk lebih bersikap prihatin dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dan pembangunan yang mampan. Dalam mengejar pembangunan, semua pihak perlu sedar bahawa bangunan yang mesra alam lebih tinggi nilainya berbanding dengan bangunan biasa, khususnya dalam usaha melindungi alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.

 (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Bangunan Pintar’ oleh Azmi Ibrahim, Dewan Masyarakat.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata pembangunan yang mampan. [2 markah]
(ii)Pengarang mengemukakan beberapa sikap yang perlu ada dalam diri pemaju hartanah untuk membangunkan bangunan hijau ini. Nyatakan sikap-sikap tersebut. [3 markah]
(iii)Jelaskan pendapat anda tentang tiga langkah yang dapat dilaksanakan untuk memelihara alam sekitar. [4 markah]


LATIHAN 7 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha yang dijalankan untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

        Sejak negara kita merdeka, semua pihak termasuk golongan istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU) turut terlibat dalam pembangunan negara. Kerajaan berasa bangga dengan golongan ini kerana berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka dapat diubah sekiranya mereka berusaha dan diberikan peluang untuk memajukan diri. Bagi golongan yang sempurna, peluang mendapat pekerjaan merupakan sesuatu yang lumrah, tetapi bukan kepada OKU. Hal ini merupakan suatu anugerah yang amat bermakna buat mereka.
    Walaupun peratus OKU di negara ini kecil, namun kerajaan tidak mahu melihat mereka dipinggirkan. Mereka diberikan hak persamaan mendapat peluang melalui penyediaan pelbagai kemudahan agar dapat memanfaatkan kehidupan. Penyediaan kemudahan ini diharapkan dapat menjadikan golongan OKU lebih proaktif dan menggunakan peluang ini untuk memajukan diri. Selain itu, kerajaan turut menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan komuniti bagi OKU. Pusat itu menawarkan khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif bagi OKU.
         Akta OKU akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya mereka hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta itu akan memberikan hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat dengan meningkatkan akses pendidikan dan latihan vokasional, pekerjaan, persekitaran, dan bergerak bebas. Selain itu, program mengintegrasikan OKU dalam masyarakat bertujuan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus dipergiatkan. Golongan OKU tidak seharusnya menjadikan kepelbagaian kemudahan ini sebagai alasan untuk tidak berusaha dan hanya mengharapkan bantuan pihak lain.
        Kerajaan turut menyediakan peluang yang luas kepada OKU untuk memberikan khidmat bakti mereka kepada negara. Hal ini terbukti di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil.10/1988, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU. Sehingga kini pelbagai jenis pekerjaan dijawat oleh golongan istimewa ini. Pemberian peruntukan berbentuk geran berjumlah RM200 ribu turut memberikan peluang kepada OKU dalam bidang sukan. Bukan itu sahaja, pelbagai sektor termasuk swasta turut menyediakan latihan yang banyak serta peluang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar mereka mampu mandiri dan tidak bergantung pada pihak tertentu sahaja.
       Beberapa pihak telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan unit khas di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia untuk membantu golongan OKU terlibat dalam bidang perniagaan. Unit ini perlu juga menggubal kurikulum khas dengan memasukkan elemen keusahawanan pada peringkat kursus dan latihan vokasional. Secara tidak langsung, langkah ini dapat memberikan kemudahan dan pendedahan kepada bakal-bakal usahawan kelak. Malah, unit ini turut disarankan supaya memperkenalkan skim bantuan modal oleh institusi kewangan kepada individu yang kurang upaya.
         Kesimpulannya, kehadiran golongan OKU dalam masyarakat tidak harus dipandang serong atau disisihkan dalam masyarakat. Kementerian Pendidikan turut memperluas bantuan elaun khas dan insentif kepada pelatih dan pelajar OKU. Kita harus menerima mereka sama seperti manusia normal yang lain. Golongan ini tidak mengharapkan simpati, tetapi menagih peluang supaya dapat hidup berdikari.

 (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sumbangan Orang Kurang Upaya kepada Negara’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa.)

Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata meningkatkan akses pendidikan. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa peranan unit khas yang telah dicadangkan penubuhannya. Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membantu rakan anda yang merupakan OKU?[4 markah]


LATIHAN 8 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tujuan-tujuan memartabatkan subjek Sejarah di sekolah dan usaha-usaha menjadikan subjek Sejarah menarik kepada pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Orang cerdik pandai selalu berkata,"Sejarah ialah guru yang terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah merupakan kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk menongkah perjalanan masa depan juga”. Andaian yang mengatakan bahawa sejarah sudah tidak relevan pada masa ini dan masa akan datang disebabkan persepsi sempit masyarakat terhadap sejarah. Andaian ini tercetus apabila sejarah didefinisikan sebagai himpunan tarikh-tarikh dan peristiwa-peristiwa luput yang terpisah daripada realiti sosio budaya dan politik semasa.
Kita harus mengakui bahawa sejarah sesebuah negara ialah akar tunjang sesuatu bangsa. Malangnya, generasi pascamerdeka kian melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan para pejuang tanah air. Justeru, pelbagai pihak menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai suatu subjek yang khusus dengan mengembalikan subjek Sejarah di sekolah. Penekanan terhadap subjek Sejarah pada peringkat sekolah rendah dilihat sebagai satu anjakan besar untuk melahirkan generasi yang tahu menghormati dan menghayati sejarah negara. Dengan mempelajari sejarah, rakyat negara ini dapat memahami beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan menghayati sejarah juga, mereka dapat menangani sesuatu isu yang melibatkan berbilang kaum tanpa terkeluar daripada kerangka sejarahnya. Sejarah penting sebagai alat perpaduan kaum di negara ini juga. Dengan memahami, menghayati, dan memanfaatkan sejarah silam, perpaduan antara kaum dapat diperkukuh sekali gus mempertahankan negara ini agar keturunan mereka tidak dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.
            Ketika ini, subjek Sejarah agak terpinggir jika dibandingkan dengan subjek-subjek lain kerana tidak menjadi subjek khusus di sekolah. Dalam pada itu, tiada pihak yang bangkit dan membetulkan pendekatan pembelajaran Sejarah supaya dianggap sebagai “melihat kembali benda-benda mati”. Pendekatan pembelajaran Sejarah kurang dinamik juga, iaitu pelajar sekadar menghafal tarikh-tarikh penting dan peristiwa-peristiwa tertentu. Hal ini demikian kerana subjek ini tidak memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan peperiksaan.
            Dengan anjakan besar yang dibayangkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar dapat mengenali sejarah kegemilangan silam serta peninggalan khazanah intelektual orang-orang Melayu. Mempelajari subjek Sejarah ibarat menyelongkar lapisan demi lapisan kebijaksanaan generasi terdahulu. Mengenal sejarah bukan sahaja akan menyemai kecintaan kepada tanah air, bahkan dapat menyematkan penghargaan generasi baharu terhadap tokoh-tokoh terdahulu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tuk Janggut, dan lain-lain yang berjuang mati-matian untuk memastikan anak cucu mereka dapat hidup dalam suasana aman, bebas, dan merdeka. Justeru, Kementerian Pendidikan harus mempertahankan cadangan menjadikan sejarah sebagai subjek khusus pada peringkat rendah dan juga menengah. Kita tidak mahu ada dalam kalangan generasi muda yang lebih kenal sejarah negara lain daripada tanah tumpahnya darah mereka.

 (Dipetik dan diubah suai daripada ‘Pentingnya Menghayati Sejarah’ oleh Ku Seman Ku Hussain, Mingguan Malaysia.)
  
Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata peninggalan khazanah intelektual. [2 markah]
(ii)Pengarang ada menyatakan beberapa punca subjek Sejarah dikatakan agak terpinggir jika dibandingkan dengan subjek-subjek lain. Apakah punca-punca tersebut? [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar?[4 markah]


LATIHAN 9 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang strategi memperkemas matlamat pembangunan e-Halal dan faedah-faedahnya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Isu produk makanan dan produk gunaan halal telah lama dibangkitkan oleh pengguna. Mereka keliru dengan tanda halal palsu pada produk makanan dan barangan gunaan yang diletakkan oleh pengeluar yang tidak bertanggungjawab. Rentetan daripada maklum balas dan aduan yang diterima daripada pengguna produk halal yang prihatin, maka kerajaan telah menubuhkan sistem maklumat yang dipanggil e-Halal. Ternyata pelancaran e-Halal pada 8 Februari 2006 telah menyingkap satu lembaran baharu industry halal di negara ini.
            Sistem e-Halal ini menyalurkan maklumat pengeluar produk makanan dan produk gunaan halal yang telah memperoleh sijil halal daripada JAKIM, lengkap dengan maklumat mengenai ramuan. menerusi sistem e-Halal ini, pengguna Islam dapat mengesahkan status halal sesuatu produk dengan kadar yang pantas. Untuk menyemak status halal sesuatu produk, pengguna perlu memasukkan perkataan “halal” dan “nombor rujukan halal” ke dalam telefon bimbit dan dihantar ke sistem e-Halal JAKIM, iaitu 32728. Namun begitu, strategi yang berkesan perlu diambil untuk memperkemas matlamat pembangunan e-Halal. Antaranya termasuklah e-Halal perlu dilengkapkan dengan sistem merekodkan semua nombor Global Standard One (GSI) palsu dan tamat tempoh sijil halalnya. SMS pengguna yang mendapat maklum balas negatif daripada e-Halal perlu dianggap sebagai laporan rasmi oleh JAKIM. Dengan kata lain, pengguna tidak perlu lagi membuat laporan secara bertulis kepada JAKIM. Hal ini dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan tindakan yang cepat dapat diambil.
            Penyebaran maklumat status halal sesuatu produk juga hendaklah dibuat dengan lebih menyeluruh. Sebaik-baik sahaja menerima maklumat tentang nombor GSI yang dipalsukan, JAKIM perlu segera menyebarkannya kepada pengguna yang lain. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat penting bagi memantapkan system e-Halal lagi. Jangka masa memperbaharui sijil halal pula lebih sesuai dibuat pada setiap tahun berbanding dengan dua tahun sekali. Dengan bayaran yang rendah, iaitu RM100 yang dikenakan oleh JAKIM untuk memperoleh sijil sah halal, pengeluar pastinya tidak akan terbeban. Seperkara lagi yang perlu dipertimbangkan ialah keselamatan sistem e-Halal itu sendiri. JAKIM harus memastikan bahawa sistem e-Halal selamat daripada anasir-anasir pencerobohan. Jika pihak yang tidak bertanggungjawab berjaya menceroboh sistem e-Halal, maka maklumat yang diberikan sudah tidak tepat serta tidak boleh dipercayai lagi. JAKIM juga perlu meninjau aktiviti penjualan makanan kepada kanak-kanak. Oleh sebab golongan ini mudah terpengaruh dan tidak begitu faham tentang konsep halal dan haram, mereka sering menjadi mangsa dalam kemelut makanan tidak halal. Selain produk makanan, sistem e-Halal turut mencakupi produk bukan makanan yang digunakan oleh umat Islam seperti bahan kosmetik dan perubatan. Oleh hal yang demikian, faktor kebersihan perlu diambil kira sebelum sijil sah halal dikeluarkan. Hal ini bersesuaian dengan kehendak Islam yang sangat mementingkan kebersihan.
            Kesimpulannya, selagi kuasa ekonomi dipegang secara majoriti oleh orang bukan Islam yang kurang arif tentang konsep halal haram, selagi itulah usaha pihak JAKIM untuk memantau hal ini dianggap relevan. Dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu halal haram, sudah tiba masanya pengusaha yang beragama Islam perlu mengorak langkah secara serius untuk terlibat dalam industri pengeluaran makanan dan barangan yang halal.


(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sistem e-Halal: Malaysia Maju Setapak lagi’, Dewan Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata kerenah birokrasi. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kebaikan kepada pengguna apabila laporan aduan SMS dianggap sebagai laporan rasmi oleh JAKIM. Apakah kebaikan-kebaikan tersebut? [3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, mengapakah sistem e-Halal perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh di negara kita?[4 markah]


LATIHAN 10 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan dan kepentingan usaha mengatasinya kepada negara . Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Setiap ibu bapa tentu mempunyai impian untuk melihat anaknya melanjutkan pelajaran ke menara gading, membawa pulang segulung ijazah, dan seterusnya menjawat jawatan yang tinggi. Walau bagaimanapun, tidak semua impian dan harapan mereka itu akan menjadi kenyataan apabila graduan kini semakin sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Sebagai akibatnya, graduan terpaksa menceburi bidang pekerjaan yang di luar kursus yang diambil sewaktu menuntut di universiti. Mereka terpaksa melakukan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan sebagai seorang graduan. Tidak kurang juga graduan yang terus menunggu dan mengharapkan pekerjaan yang tidak kunjung tiba. Sesetengah mengambil keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan setelah sekian lama menjadi penganggur terhormat.
     Peka terhadap permasalahan yang timbul, maka Kementerian Sumber Manusia telah mengemukakan beberapa cadanganuntuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah. Antara cadangan tersebut termasuklah menggalakkan graduan yang menganggur mengikuti kursus yang selari dengan pasaran tenaga kerja. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dilihat hanya mampu menyelesaikan masalah ini buat sementara waktu. Sebaliknya, perubahan dan penilaian terhadap sistem pendidikan di peringkat IPT perlu dilakukan sebagai jalan penyelesaian dalam jangka masa panjang. Pada dasarnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah berjaya melahirkan golongan graduan, tetapi hakikatnya produk yang dihasilkan oleh IPT itu gagal berdikari. Sebagai golongan yang berpendidikan, graduan seharusnya lebih kreatif dan berani meneroka alam pekerjaan yang baharu. Mereka perlu menjadi golongan yang mampu mencipta dan menyediakan peluang pekerjaan dengan menggunakan segala ilmu serta kemahiran yang dipelajarinya di universiti.
         Graduan sepatutnya tidak terlalu bergantung harap kepada pihak lain untuk mendapatkan pekerjaan. Hal ini demikian kerana keadaan dan senario pasaran pekerjaan telah berubah. Graduan perlu mengikis mentaliti makan gaji yang kuat mendasari pemikiran dan sanubari mereka. Graduan harus mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta bersedia untuk melakukan perubahan bagi menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran. Selain itu, Program Siswazah Tani yang pernah dirintis perlu dihidupkan semula. Graduan seharusnya tidak terlalu memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka kerana sikap terlalu memilih kerja ini menyebabkan paras pengangguran dalam kalangan graduan kian meningkat. Graduan perlu mengambil kira pengalaman yang bakal ditimba di tempat kerja berbanding dengan tangga gaji yang ditawarkan oleh majikan. Pengalaman tersebut yang akan mematangkan mereka untuk menceburi bidang kerja yang lebih mencabar.
          Sebarang usaha dan program yang dilaksanakan itu tidak akan berjaya tanpa sokongan, bantuan, dan dorongan daripada sektor awam serta sektor swasta. Kerjasama daripada institusi kewangan juga penting untuk membantu graduan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang selari dengan kursus pengajian yang diambilnya. Peluang perlu diberikan kepada graduan untuk membuktikan keupayaan dan kemampuan mereka. Kaedah memberikan “jaring” serta “pancing” dan kemudiannya membiarkan para graduan berusaha untuk mendapatkan “ikan” atau menyuapkan pekerjaan kepada golongan ini. Sekurang-kurangnya dengan berbuat demikian, akan dapat melahirkan graduan yang berdaya maju dan berusaha memperbaiki keadaan diri mereka.


(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Mengatasi Masalah Graduan Menganggur’ oleh Ann Abdullah, Dewan Masyarakat.)
Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata meneroka alam pekerjaan yang baharu. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan yang berlaku apabila graduan kini semakin sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Apakah kesan-kesan tersebut? [3 markah]
(iii)Sebagai mahasiswa yang berdaya saing, jelaskan tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh mahasiswa untuk mengatasi masalah pengangguran. [4 markah]


LATIHAN 11 

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor kemerosotan nilai-nilai kejiranan dan langkah untuk memantapkan nilai tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Namun begitu, segelintir anggota masyarakat pada hari ini mengambil mudah tentang semangat kejiranan. Pada zaman dahulu, hubungan sesame jiran sangat akrab,”seperti aur dengan tebing”. Kini hubungan tersebut semakin renggang walaupun rumah dalam kawasan kejiranan sangat dekat antara satu dengan yang lain.
          Tuntutan hidup yang serba mencabar di kawasan bandar menjadikan masyarakat sentiasa sibuk bekerja dan mencari keperluan diri serta keluarga. Kesibukan terhadap kerja dan tanggungjawab ini menyebabkan mereka tidak dapat meluangkan masa dengan jiran tetangga. Lebih malang lagi, ada kalangan anggota masyarakat yang mengambil sikap tidak mempedulikan antara satu dengan yang lain. Nilai-nilai kejiranan turut terhakis apabila berlakunya peningkatan kos sara hidup dan tekanan hidup dunia moden terutamanya di kawasan bandar. Fenomena ini memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Hal ini menyebabkan mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bergaul sesama jiran. Masalah kemerosotan nilai-nilai kejiranan begitu ketara dalam komuniti bandar yang lebih kompleks dan canggih kehidupannya.
          Reka bentuk dan perancangan fizikal juga sedikit banyak menyumbang kepada ketirisan nilai-nilai tersebut. Fenomena tersebut semakin parah apabila ditambah dengan proses urbanisasi yang mendorong masyarakat bandar bersikap tidak mahu mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik dan sibuk dengan hal sendiri menyebabkan ikatan kemasyarakatan menjadi longgar. Keghairahan anggota masyarakat mengejar dunia materialistik menambahkan kemerosotan nilai-nilai kejiranan yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu. Seterusnya, ketirisan semangat kekitaan menyebabkan anggota masyarakat tiada keinginan untuk mengambil berat atau saling bertegur sapa. Semangat kekitaan yang semakin kurang antara anggota masyarakat bukan sahaja merugikan penduduk bandar malah boleh mewujudkan pelbagai masalah sosial lain termasuklah penagihan dadah, kecurian, dan vandalisme. Selain nilai kejiranan yang hilang akibat kurangnya semangat kekitaan, terdapat juga anggota masyarakat yang bersifat merendah diri dan tidak suka bergaul dengan orang lain kerana perbezaan pangkat dan latar belakang sosioekonomi. Bahkan semangat kejiranan semakin pudar apabila ada yang bersifat dengki, berpaling muka sesama jiran, dan tidak bertegur sapa.
          Faktor teknologi maklumat dan komunikasi turut menyebabkan masyarakat pada hari ini kurang menghiraukan semangat kejiranan. Perkembangan teknologi yang canggih menyebabkan mereka semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan anggota masyarakat yang lain. Aplikasi peralatan komunikasi canggih menjadikan anggota masyarakat tidak bersikap ramah dan kurang kemahiran komunikasi. Sebagai makhluk sosial, manusia tidak dapat hidup sendiri kerana hidup berjiran atau bermasyarakat merupakan fitrah semula jadi manusia. Oleh itu, sudah tiba masanya kita merenung kembali dan menghayati konsep kejiranan yang semakin dilupakan dalam masyarakat khususnya masyarakat bandar.

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kemerosotan Nilai Kejiranan’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa.)
Soalan - Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata proses urbanisasi. [2 markah]
(ii)Pengarang menyatakan beberapa kesan peningkatan kos sara hidup dan tekanan hidup yang dapat menjejaskan semangat kejiranan. Apakah kesan-kesan tersebut? [3 markah]

(iii)Kerajaan menjalankan pelbagai usaha untuk menyuburkan semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat kerana menyedari semangat tersebut amat penting dalam sesebuah negara. Pada pendapat anda, apakah kepentingan-kepentingan semangat kejiranan? [4 markah]




Tuesday, 18 July 2017

Kesalahan Penggunaan Istilah atau Kata dan Kesalahan Tatabahasa - Edisi 1

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

Contoh soalan dan cara menjawab

Sebagai pelajar, kita mesti tabah merempuh (KKI) segala cabaran agar supaya (KT) kita berjaya dalam pelajaran.

jawapan :

Kesalahan kata/ Istilah (KKI) : merempuh- menempuh
Kesalahan Tatabahasa (KT) : agar supaya kita berjaya - agar kita berjaya/ supaya kita berjaya

GUNAKAN SIMBOL ( - ) BAGI MEMBEZAKAN PERKATAAN YANG SALAH DAN BETUL

LATIHAN :

  1. Peneroka dalam sesuatu bidang ilmu mesti mempunyai ketelitian untuk mengelakan kesimpulan yang rapuh dan tidak berpijak di atas fakta yang kukuh sehingga menghasilkan kajian yang salah.
  2. Saban hari berita tentang peperangan memenuhi dada akhbar dan baca televisyen malah lagi pengkhabaran itu berlaku di negara yang tiada daya untuk menentang kuasa penceroboh.
  3. Lambakan industri produk kecil dan sederhana bukan sahaja memenuhi pasar raya di dalam negara tetapi juga dapat menguasai ruang niaga di gedung terkemuka luar negara.
  4. Kumpulan yang berpakaian kemas itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip derma secara haram bahawa memperalatkan nama dan dimensi rumah kebajikan di ibu negara.
  5. Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh kita harus dipupuk dan disebarkan supaya terus berkembang dan masyarakat mendapat balasan daripadanya.
  6. Jamuan yang diadakan secara besar-besaran akan membazir sedangkan baki makanan yang ketinggalan dibuang begitu sahaja.
  7. Jambatan Pulau Pinang Kedua akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi khususnya kepada para pedagang yang akan mendapat manfaat daripada kemudahan pelabuhan dan penyediaan kargo.
  8. Wanita hendaklah melibatkan diri secara aktif di dalam bidang ekonomi untuk meningkatkan perolehan mereka dalam pembangunan negara.
  9. Rakyat masih dapat menyaksikan kegagahan dan kesetiaan pasukan polis dalam meneruskan tugas dan tanggungjawab namun demikian terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan.
  10. Kerajaan tetap tegas dengan pendirian untuk memerangi rasuah sekalipun terpaksa melangkah arus lagipun hasrat itu tetap dilaksanakan sehingga membuahkan kejayaan.
  11. Rancangan Malaysia Kesepuluh dirangka, dirancang, dan akan dilaksanakan untuk memberikan kelebihan kepada lapisan setiap masyarakat menerusi penekanan kepada pembangunan modal insan.
  12. Kekotoran sumber air di negara ini amat menyentuh perasaan kita yang mana hal seumpama ini tidak pernah menimpa negara kita sejak beberapa dekad yang lalu.
  13. Semua penduduk-penduduk kampung berlarian ke pantai untuk menonton ikan dugong yang terdampar di situ.
  14. Pokok yang berumur sahaja dibenarkan untuk ditebang oleh pembalak dalam pengurusan sistem perhutanan di Malaysia.
  15. Di dalam masyarakat moden hari ini, sukan dapat dijadikan jambatan untuk mewujudkan perpaduan.
  16. Guru-guru yang mendidik di kawasan pedalaman diberi elaun tambahan sebagai insentif pada mereka.
  17. Kami menggunakan nahu Kelantan bila bertutur sesama ahli keluarga.
  18. Pertunjukan buku yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai.
  19. Program Mengatasi Kemiskinan akan memberikan peluang pada golongan berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan dan memupuk nilai positif tentang kehidupan.
  20. Sekalipun kenaikan harga minyak tidak begitu menyusahkan syarikat pengangkutan awam tetapi keuntungan yang syarikat itu peroleh mungkin berkurang.
  21. Pesakit diabetes dan alahan adalah antara masalah kesihatan yang dialami oleh sesetengah orang yang berpunca dari amalan pemakanan yang tidak betul.
  22. Rakyat Malaysia wajar menghormati pelancong asing untuk mengelakkan potensi negatif pihak luar terhadap rakyat atau negara ini.
  23. Seseorang yang mementingkan kesihatan akan menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala untuk memastikan bahawa ianya sentiasa sihat.
  24. Kebanyakan peruncit bersikap tidak endah kepada kerugian pengguna kerana didorong oleh nafsu tamak untuk menimba keuntungan.
  25. Kerajaan membuat keputusan tidak akan membuat tambatan ringgit dengan kadar semasa Dolar Amerika di dalam menghadapi konflik kewangan antarabangsa.
  26. Penggunaan khidmat kiriman ringkas mencerminkan kecanggihan komunikasi di zaman teknologi maklumat.
  27. Pendaratan tahi bintang di kawasan sawah padi itu telah menjadi buah mulut sejumlah besar penduduk- penduduk berhampiran dengan kawasan kejadian.
JAWAPAN :

  1. KKI: Peneroka Pengkaji   KT: di atasatas
  2. KKI: perkhabaran - berita KT: malah - apatah   
  3. KKI: industri produk kecil - produk industri kecil   KT: luar negara - di luar negara
  4. KKI: dimensi - reputasi   KT: bahawa - dengan
  5. KKI: balasan - manfaat   KT: dimiliki oleh kita - kita miliki
  6. KKI: ketinggalan - bersisa   KT: sedangkan - apabila
  7. KKI: Jambatan Pulau Pinag Kedua - Jambatan Kedua Pulau Pinang                                             KT: penyediaan - perkhidmatan
  8. KKI: perolehan - sumbangan   KT: di dalam - dalam
  9. KKI: kegagahan - kegigihan   KT: namun demikian - walaupun/sekalipun
  10. KKI: melangkah menongkah   KT: lagipun - namun
  11. KKI: kelebihan - manfaat   KT: lapisan setiap masyarakat - setiap lapisan masyarakat
  12. KKI: Kekotoran - Pencemaran   KT: yang mana - kerana
  13. KKI: menonton - melihat  KT: Semua penduduk-penduduk - Semua penduduk
  14. KKI: berumur - matang   KT: pengurusan sistem perhutanan - sistem pengurusan perhutanan
  15. KKI: jambatan - landasan   KT: di dalam - dalam
  16. KKI: mendidik - mengajar   KT: pada - kepada
  17. KKI: nahu - dialek   KT: bila - apabila
  18. KKI: pertunjukan - pameran   KT: dari - daripada
  19. KKI: Mengatasi - Membasmi   KT: pada - kepada
  20. KKI: menyusahkan - menjejaskan   KT: syarikat itu peroleh - diperoleh syarikat itu
  21. KKI: Pesakit - Penyakit   KT: dari - daripada
  22. KKI: potensi - persepsi   KT: atau - dan
  23. KKI: perubatan - kesihatan   KT: ianya - ia/dia
  24. KKI: menimba - mengaut   KT: kepada - tentang
  25. KKI: konflik - krisis   KT: di dalam - dalam
  26. KKI: khidmat kiriman ringkas - khidmat pesanan ringkas   KT: di - pada 
  27. KKI: pendaratan - kejatuhan                                                                                             KT: sejumlah besar penduduk-penduduk - sejumlah besar penduduk

Monday, 17 July 2017

Kesalahan Ejaan dan Kesalahan Imbuhan

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

Contoh soalan dan cara menjawab

Nurkatina telah dimasukan (KI) ke wad kecemasan kerana mengalami cedera parah dalam kemalangan jalanraya (KE).

jawapan :

Kesalahan imbuhan (KI) : dimasukan - dimasukkan
Kesalahan ejaan (KE) : jalanraya - jalan raya

GUNAKAN SIMBOL ( - ) BAGI MEMBEZAKAN PERKATAAN YANG SALAH DAN BETUL

LATIHAN :
  1. "Jenerasi muda harus mencintai dan penghargaan kesenian dan kebudayaan warisan bangsa," tegas wakil itu dengan penuh semangat.
  2. Program "Bersamamu" yang diterbitkan oleh TV3 telah meruntun hati penuntun hingga ada yang mengaliri air mata.
  3. Pamiran yang diadakan oleh pihak polis telah dapatan sambutan yang baik daripada orang ramai.
  4. Jabatan Kerja Raya telah memperlebarkan jalan raya yang sedia ada untuk memberikan keselisaan kepada pengguna.
  5. Selepas taufan Wilma, Amerika Syarikat kini mendepani dengan ancaman taufan Alpha yang telah mengorbankan nyawa dan memusnahkan infra struktur di China.
  6. Tanpa menghiraukan bantahan antara bangsa, Zionis Israel terus-menerus menjalankan dasar tertindas dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
  7. Tradisi keritikan sastera di negara kita masih muda usianya berbanding dengan pengembangannya di negara-negara Barat.
  8. Peraduan menulis essei patut diperbanyak untuk meningkat kemahiran mengungkapkan buah fikiran dalam bentuk tulisan.
  9. Sektur swasta hendaklah merangsang minda para pekerja supaya menyintai bahasa Melayu dan menggunakannya dalam urusan harian.
  10. Setiap peserta yang mengikuti program peningkatan akademik disyarat oleh pihak sekolah supaya menyediakan lapuran lengkap tentang program tersebut.
  11. Pihak berkuasa tempatan akan mengadakan pameran pelan struktur membangunkan kawasan tempat letak kereta untuk memperoleh maklumbalas orang ramai.
  12. Waktu istirehat bagi kakitangan berpejabat kerajaan adalah pada pukul 12.45 tengah hari hingga 2.00 petang.
  13. Tanaman buah-buahan yang diusahakan itu dapat mengimbang rutin harian beliau sebagai penulis, lagi pun kegiatan itu memberikan kepuasan kepadanya.
  14. Jabatan Bomba dan Penyelamat melapurkan bahawa kebakaran itu berpunca daripada litar pintas dan perdawaian yang tidak pernah diselia selama beberapa tahun.
  15. Bahagian Jenayah Berat begitu optimis bahawa kegiatan gangster yang masih ada saki-bakinya itu akan dapat dihapus.
  16. Rancangan Malaysia Ke Sepuluh memberikan tekanan terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan di bandar dan di luar bandar.
  17. Wang petaruhan dalam sesuatu pembidaan hendaklah disediakan dalam bentuk deraf bank atas nama pihak yang mengeluarkan tender tersebut.
  18. Pihak polis mengada pemantauan yang berterusan di kawasan-kawasan yang beresiko tinggi berlakunya kejadian ragut.
  19. Setiap orang mempunyai hak untuk bergaya dan menjaga penampelan diri kerana mereka mahu kelihatan menarik pada pemandangan orang lain.
  20. Negara-negara yang memegang kuasa vito dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah digesa oleh negara anggota pertubuhan dunia itu agar tidak menyalahgunakan kedudukkan mereka.
  21. Anugerah Guru Inovatif diadakan untuk memberikan periktirafan kepada guru yang telah menghasilkan usaha kreatif untuk meningkatkan profesionalisma keguruan dan keberkesanan kurikulum.
  22. Pengunaan bahasa rojak yang menjadi kebiasaan sesetengah anggota masyarakat di negara ini ketika bertutur adalah tidak sesuai sama sekali digunakan ketika berucap dalam majlis resmi.
  23. Pengeluar barangan halal menghadap kesukaran untuk mendapatkan keyakinan pengguna apabila ujud pelbagai pihak yang menyelewangkan penggunaan tanda halal.
  24. Kerisis yang berlaku di kawasan Timur Tengah mesti ditangankan secara berhati-hati sekiranya kita tidak mahu tercetusnya peperangan yang melibatkan penggunaan senjata nuklear.
  25. Mi dan kuey teow menjadi makanan menggemarkan sebahagian besar rakyat pelbagai kaum negara ini sejak dahulu lagi.
  26. Sektor pertanian yang mengguna teknologi moden sudah diterima oleh gulungan petani di seluruh negara.
  27. Sekolah seharusnya menyediakan suasana pelajaran yang baik dan kondusive agar kes ponteng sekolah dapat dikurangkan.

JAWAPAN :

  1. KE : generasi   KI : menghargai
  2. KE : penonton KI : mengalirkan
  3. KE : pameran KI : mendapat
  4. KE : keselesaan KI : memperlebar 
  5. KE : infrastruktur KI : berdepan
  6. KE : antarabangsa KI : penindasan
  7. KE : kritikan KI : perkembangan
  8. KE : esei KI : meningkatkan
  9. KE : sektor   KI : mencintai
  10. KE : laporan   KI : disyaratkan
  11. KE : maklum balas   KI : pembangunan
  12. KE : istirahat   KI : jabatan
  13. KE : lagipun   KI : mengimbangi
  14. KE : melaporkan   KI : pendawaian
  15. KE : gengster   KI : dihapuskan
  16. KE : Kesepuluh   KI : penekanan
  17. KE : draf   KI : pertaruhan
  18. KE : berisiko   KI : mengadakan
  19. KE : penampilan   KI : pandangan
  20. KE : veto   KI : kedudukan
  21. KE : profesionalisme   KI : pengiktirafan
  22. KE : rasmi   KI : Penggunaan
  23. KE : wujud   KI : menghadapi
  24. KE : Krisis   KI : ditangani
  25. KE : kuetiau KI : kegemaran
  26. KE : golongan   KI : menggunakan
  27. KE : kondusif   KI : pembelajaran

   

Friday, 14 July 2017

Teknik Menulis Karangan

Kandungan Karangan
  • Pengenalan/Pendahuluan
  • Isi
  • Kesimpulan/Penutup
1. Pengenalan/Pendahuluan
  • Ditulis dalam satu perenggan
  • Terus bicara tajuk. Kaitkan dengan isu semasa atau pendapat tokoh
  • Tepat dan jelas dengan isu soalan
  • Jangan masukkan isi
  • Sekurang-kurangnya ENAM ayat.
  • Ayat yang terakhir dikaitkan dengan kehendak soalan.
  • Contoh Pendahuluan 
      Peningkatan kadar jenayah di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa, namun belum menampakkan hasilnya. (TERUS BICARA TAJUK) Berita kejadian jenayah seperti rompakan, kecurian, rogol, ragut, dan pembunuhan sering kali menjadi tajuk utama berita di media elektronik dan menghiasi di dada-dada akhbar arus perdana. Umpamanya, kejadian pembuangan bayi yang dicampak dari rumah pangsa telah menggemparkan masyarakat seluruh negara. (KAITKAN DENGAN ISU SEMASA) Kejadian-kejadian jenayah seperti ini sepatutnya tidak berlaku di sebuah negara seperti Malaysia kerana masyarakat kita dikatakan bertamadun tinggi. (TEPAT DAN JELAS) Gejala-gejala negatif seperti ini hendaklah ditangani segera dengan seluruh anggota  masyarakat mengambil inisiatif bagi membendung gejala jenayah di negara kita daripada terus meningkat. (AYAT TERAKHIR DIKAITKAN DENGAN KEHENDAK SOALAN)

2. Penulisan Isi
  • Menyatakan isi pokok
  • Satu isi dalam satu perenggan
  • Membuat huraian lengkap
  • Mengandungi contoh
  • Bahasa Indah (Jika perlu)
  • Membuat rumusan isi
  • Contoh perenggan isi:
         Dalam menangani kejadian jenayah ini, peranan anggota masyarakat memang tidak dapat dinafikan. Anggota masyarakat berperanan besar dengan cara melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak berwajib. (ISI POKOK ATAU PENYATAAN ISI) Sebagaimana yang kita maklum, bilangan anggota penguat kuasa, terutamanya polis amat terhad. (HURAIAN ISI) Jadi, mereka agak terbatas untuk menangani kejadian jenayah yang berlaku di merata-rata tempat. (HURAIAN ISI) Tambahan pula, peningkatan bilangan penduduk di negara kita telah menyebabkan nisbah antara polis dengan rakyat semakin besar. (HURAIAN ISI) Oleh itu, anggota masyarakat sewajarnya membantu polis untuk membendung kejadian jenayah bagi meringankan beban tugas mereka. Anggota masyarakat boleh bekerjasama menangkap peragut atau pencuri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. (CONTOH) Tegasnya, kerjasama yang erat antara anggota masyarakat dan pihak berkuasa mampu menakutkan penjenayah dan seterusnya mencatatkan penurunan indeks jenayah di negara kita. (RUMUSAN ISI)

3. Kesimpulan

  • Membuat kesimpulan dan rumusan tentang tajuk yang dibincangkan
  • Sekurang-kurangnya ENAM ayat.
  • Dituli dalam satu perenggan
  • Jangan masukkan isi baharu
  • Memberikan saranan atau pandangan secara umum
          Tuntasnya, kerjasama yang erat antara masyarakat dengan pihak berkuasa mampu mengekang kegiatan jenayah daripada terus berleluasa. (MEMBUAT KESIMPULAN DAN RUMUSAN) Masyarakat perlu sedar masalah jenayah ini sukar dibendung sekiranya tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak polis sahaja. (MEMBUAT KESIMPULAN DAN RUMUSAN) Hal ini dikatakan demikian kerana nisbah bilangan anggota polis dengan bilangan rakyat di negara ini sangat besar jurangnya. Pasukan polis tidak mampu melaksanakan tugas mereka membendung jenayah dengan efisyen tanpa bantuan dan kerjasama daripada anggota masyarakat. Kesedaran dan komitmen anggota masyarakat dapat meringankan beban pasukan polis menentang kegiatan jenayah. (MEMBERIKAN SARANAN ATAU PANDANGAN SECARA UMUM) Sesungguhnya, jenayah membawa padah.

4. Ciri-ciri Karangan Cemerlang

  • Karangan menepati kehendak soalan
  • Penggunaan kosa kata yang luas dan tepat
  • Meminumkan kesalahan bahasa
  • Panjang karangan tidak kurang daripada 350 patah perkataan
  • Isi yang mencukupi dan diolah dengan menarik dan berkesan
  • Penggunaan ungkapan yang menarik seperti peribahasa, kata-kata hikmah, cogan kata, petikan kata-kata tokoh, dan sebagainya.