Friday, 14 July 2017

Teknik Menulis Karangan

Kandungan Karangan
  • Pengenalan/Pendahuluan
  • Isi
  • Kesimpulan/Penutup
1. Pengenalan/Pendahuluan
  • Ditulis dalam satu perenggan
  • Terus bicara tajuk. Kaitkan dengan isu semasa atau pendapat tokoh
  • Tepat dan jelas dengan isu soalan
  • Jangan masukkan isi
  • Sekurang-kurangnya ENAM ayat.
  • Ayat yang terakhir dikaitkan dengan kehendak soalan.
  • Contoh Pendahuluan 
      Peningkatan kadar jenayah di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa, namun belum menampakkan hasilnya. (TERUS BICARA TAJUK) Berita kejadian jenayah seperti rompakan, kecurian, rogol, ragut, dan pembunuhan sering kali menjadi tajuk utama berita di media elektronik dan menghiasi di dada-dada akhbar arus perdana. Umpamanya, kejadian pembuangan bayi yang dicampak dari rumah pangsa telah menggemparkan masyarakat seluruh negara. (KAITKAN DENGAN ISU SEMASA) Kejadian-kejadian jenayah seperti ini sepatutnya tidak berlaku di sebuah negara seperti Malaysia kerana masyarakat kita dikatakan bertamadun tinggi. (TEPAT DAN JELAS) Gejala-gejala negatif seperti ini hendaklah ditangani segera dengan seluruh anggota  masyarakat mengambil inisiatif bagi membendung gejala jenayah di negara kita daripada terus meningkat. (AYAT TERAKHIR DIKAITKAN DENGAN KEHENDAK SOALAN)

2. Penulisan Isi
  • Menyatakan isi pokok
  • Satu isi dalam satu perenggan
  • Membuat huraian lengkap
  • Mengandungi contoh
  • Bahasa Indah (Jika perlu)
  • Membuat rumusan isi
  • Contoh perenggan isi:
         Dalam menangani kejadian jenayah ini, peranan anggota masyarakat memang tidak dapat dinafikan. Anggota masyarakat berperanan besar dengan cara melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak berwajib. (ISI POKOK ATAU PENYATAAN ISI) Sebagaimana yang kita maklum, bilangan anggota penguat kuasa, terutamanya polis amat terhad. (HURAIAN ISI) Jadi, mereka agak terbatas untuk menangani kejadian jenayah yang berlaku di merata-rata tempat. (HURAIAN ISI) Tambahan pula, peningkatan bilangan penduduk di negara kita telah menyebabkan nisbah antara polis dengan rakyat semakin besar. (HURAIAN ISI) Oleh itu, anggota masyarakat sewajarnya membantu polis untuk membendung kejadian jenayah bagi meringankan beban tugas mereka. Anggota masyarakat boleh bekerjasama menangkap peragut atau pencuri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. (CONTOH) Tegasnya, kerjasama yang erat antara anggota masyarakat dan pihak berkuasa mampu menakutkan penjenayah dan seterusnya mencatatkan penurunan indeks jenayah di negara kita. (RUMUSAN ISI)

3. Kesimpulan

  • Membuat kesimpulan dan rumusan tentang tajuk yang dibincangkan
  • Sekurang-kurangnya ENAM ayat.
  • Dituli dalam satu perenggan
  • Jangan masukkan isi baharu
  • Memberikan saranan atau pandangan secara umum
          Tuntasnya, kerjasama yang erat antara masyarakat dengan pihak berkuasa mampu mengekang kegiatan jenayah daripada terus berleluasa. (MEMBUAT KESIMPULAN DAN RUMUSAN) Masyarakat perlu sedar masalah jenayah ini sukar dibendung sekiranya tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak polis sahaja. (MEMBUAT KESIMPULAN DAN RUMUSAN) Hal ini dikatakan demikian kerana nisbah bilangan anggota polis dengan bilangan rakyat di negara ini sangat besar jurangnya. Pasukan polis tidak mampu melaksanakan tugas mereka membendung jenayah dengan efisyen tanpa bantuan dan kerjasama daripada anggota masyarakat. Kesedaran dan komitmen anggota masyarakat dapat meringankan beban pasukan polis menentang kegiatan jenayah. (MEMBERIKAN SARANAN ATAU PANDANGAN SECARA UMUM) Sesungguhnya, jenayah membawa padah.

4. Ciri-ciri Karangan Cemerlang

  • Karangan menepati kehendak soalan
  • Penggunaan kosa kata yang luas dan tepat
  • Meminumkan kesalahan bahasa
  • Panjang karangan tidak kurang daripada 350 patah perkataan
  • Isi yang mencukupi dan diolah dengan menarik dan berkesan
  • Penggunaan ungkapan yang menarik seperti peribahasa, kata-kata hikmah, cogan kata, petikan kata-kata tokoh, dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment