Friday, 7 July 2017

Karangan Bahan Rangsangan -Langkah-langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang

Dewasa ini, isu kenaikan harga barangan semakin hebat diperkatakan dari semasa ke semasa. Isu ini semakin giat terpampang di dada-dada akhbar mahupun laman sesawang internet. Golongan yang paling teruk terkesan dengan masalah ini sudah tentulah golongan yang berpendapatan rendah. Golongan ini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, anak-anak yang masih di bangku sekolah juga turut terasa tempiasnya. Keadaan menjadi lebih parah ekoran ekonomi negara yang semakin meruncing. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan ini?
            Pada pendapat saya, antara langkah untuk mengatasi kenaikan harga barang di negara kita ialah pihak yang bertanggungjawab perlulah mengadakan kempen jimat cermat. Hal ini demikian kerana, dengan adanya kempen, masyarakat akan mendapat pendedahan awal berkaitan fungsi mereka sebagai pengguna yang bijak. Malah, mereka juga boleh mengetahui harga barangan semasa, agar mereka tidak tertipu ketika membeli barangan-barangan tersebut kelak. Peribahasa Melayu ada mengatakan, sesal dahulu pendapat, sesal kemudian tidak berguna. Tegaslah bahawa, kempen jimat cermat ini sangat penting sebagai medium penyampaian ilmu kepada masyarakat amnya, kepada pengguna khususnya.
            Selain itu, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri sebagai usaha mengatasi masalah kenaikan harga barang di negara ini. Hal ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang, bahkan dapat menjamin kebersihan dan kesihatan tanaman tersebut. Sebagai contoh, jika menanam sendiri sayur-sayuran, risiko penggunaan racun serangga dapat dielakkan. Malah, tanaman tersebut juga boleh dijual sekiranya sudah melebihi keperluan isi rumah. Seterusnya dapat menambah pendapat isi rumah. Bak kata pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Justeru, wajarlah sekiranya pengguna menanam sendiri sayur-sayuran berbanding mengeluarkan wang untuk membeli di pasar-pasar berhampiran mereka.
            Seterusnya, cara mengatasi kenaikan harga barang adalah dengan pemantauan rapi dan berkala daripada pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, pemantauan seperti ini dapat membela nasib pengguna yang adakalanya ditipu dan ditindas oleh peniada yang tidak berperikemanusiaan. Sebagai contoh, peniaga menaikkan harga barangan secara membuta tuli tanpa memikirkan perasaan dan kemampuan pengguna di luar sana. Hal ini membuatkan kehidupan golongan berpendapatan rendah semakin terhimpit. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengenakan tindakan dan denda yang setimpal kepada para peniaga yang curang dalam urusan jual beli agar mereka beringat bahawa ada mata yang memerhati perlakuan sumbang mereka. Jelaslah bahawa, pemantauan berkala perlu kerap dilakukan bagi membanteras kenaikan harga barangan dalam kalangan peniaga.
            Intihanya, kenaikan harga barangan memberi kesan negatif jika tidak dibendung lebih awal lagi. Semua sedia maklum, kenaikan harga yang dikenakan berpunca daripada sikap tamak yang dimiliki segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab. Peniaga-peniaga ini kadang kala bersifat lebih sudu daripada kuah. Mereka langsung tidak memikirkan kesempitan hidup yang dialami oleh sesetengah masyarakat di luar sana sebaliknya memikirkan keuntungan periuk nasi sendiri sahaja. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab janganlah hanya memandang enteng terhadap isu ini. Pihak kerajaan perlulah bersama-sama berganding bahu membanteras isu ini sehingga ke akar umbinya.


            [ 454 patah perkataan ]

No comments:

Post a Comment