Baca Bahan 1dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Bahan 1
Individu yang sering menderma darah didapati kekal sihat kerana amalan tersebut dapat membakar kalori. Untuk satu pain darah, iaitu kira-kira 450 mililiter yang didermakan akan mampu membakar 650 kalori dalam badan penderma. Sudah terbukti bahawa amalan menderma darah ini perlu disuburkan kerana dapat menjadikan bahan penderma lebih bertenaga dan lebih selesa berbanding dengan tahap sebelumnya.
Individu yang mengalami obesiti juga dapat meningkatkan tahap kesihatan mereka dengan menderma darah kerana sindrom metabolik penderma boleh diatasi. Jadi, amalan menderma darah sememangnya merupakan satu amalan terpuji jika dilakukan dengan niat untuk membantu individu yang memerlukan darah. Amalan ini bukan sahaja dapat memenuhi tuntutan ajaran agama tetapi juga dapat merealisasikan aspirasi pembentukan masyarakat prihatin di negara ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada “Derma Darah”, Dewan Siswa, September 2013)
Bahan 2
Berdasarkan kajian, rutin menderma darah oleh penderma pada setiap enam bulan sekali dapat mengurangkan risiko mereka diserang sakit jantung dan strok. Bukan itu sahaja, faedah yang bakal diperoleh hasil daripada amalan menderma darah ialah penderma akan menikmati kehidupan yang lebih sihat di samping memberikan sumbangan yang cukup besar maknanya kepada pesakit yang memerlukan bantuan darah.
Malahan, amalan menderma darah secara konsisten juga dapat menangani ancaman kanser termasuk kanser hati, paru-paru, kolon dan tekak. Pengeluaran sel darah baharu yang lebih segar juga berlaku apabila darah dikeluarkan daripada badan penderma. Kajian juga telah membuktikan bahawa amalan suka menderma ini juga dapat membantu melawan gangguan genetik. Hal ini dikatakan demikian kerana zat besi yang terkumpul akibat metabolisme besi yang tidak sempurna akan menyebabkan kerosakan organ.
(Dipetik dan diubah suai daripada “ Kebaikan Menderma Darah”, Dewan Siswa, Februari 2015)
Sumber: buku Ilmu Bakti (Modul A+SPM Bahasa Melayu)
(i) Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud merealisasikan aspirasi. [2 markah]
(ii) Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan persamaan kebaikan menderma darah. [3 markah]
(iii) Kempen menderma darah kurang mendapat sambutan daripada masyarakat. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan tersebut berlaku? [3 markah]
(iv) Kumpulan anda diminta oleh guru untuk menyiapkan tugasan tentang langkah-langkah berkesan yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran menderma darah dalam kalangan murid. Cadangkan langkah-langkah tersebut. [4 markah]
No comments:
Post a Comment