BAHAGIAN C (30 Markah) -Rumusan
Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Bahan 1 - Petikan
Peredaran zaman telah berubah kecenderungan remaja pada masa ini untuk mengisi waktu terluang. Jika masa dahulu, remaja akan mencari rakan sebaya untuk menjalankan aktiviti di luar rumah secara berkumpulan dan berbentuk fizikal namun pada hari ini, kebanyakan remaja lebih berminat untuk berkurung sendirian di bilik dengan memberikan tumpuan terhadap peranti elektronik masing-masing. Secara umumnya, peranti elektronik berfungsi sebagai medium penyampai maklumat dan komunikasi dalam kehidupan seharian.
Walau bagaimanapun, keghairahan menggunakan peranti elektronik secara tidak berdisiplin akan mengundang pelbagai masalah sosial dan penyalahgunaan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kesan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan mengganggu norma dan nilai dalam keluarga, masyarakat dan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa dapat juga kebaikan terhadap penggunaan peranti elektronik dalam kehidupan remaja. Antaranya, termasuklah mampu meningkatkan proses pembelajaran di samping kemahiran inovasi dan pemikiran kritis dalam kalangan remaja.
Bukan itu sahaja, kesan negatif penggunaan peranti elektronik secara berlebihan termasuklah pembaziran masa yang kritikal dan masalah kesihatan seperti obesiti. Remaja yang menggunakan aplikasi seperti permainan video melebihi dua jam akan menjejaskan penglihatan mereka dan menyebabkan mata menjadi rabun. Selain itu, bagi remaja yang menggunakan peranti elektronik dalam keadaan postur berbaring atau duduk terlalu lama akan menyebabkan kesakitan pada tulang belakang dan meningkatkan risiko bongkak pada usia muda.
Di samping itu, remaja yang ketagihan penggunaan peranti elektronik akan mengurangkan tumpuan mereka ada pelajaran atau tugasan yang diberikan. Dalam aspek pergaulan dan komunikasi pula, remaja yang ketagihan peranti elektronik akan menjadi lebih pendiam, kurang sabar, tidak mempunyai teman rapat dan penguasaan bahasa yang tidak berkembang. Dari sudut perkembangan emosi pula, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan akan mengganggu perkembangan emosi dan kerohanian para remaja. Masalah ini menjadi lebih kritikal akibat daripada perkembangan teknologi yang semakin bervariasi. Namun begitu, remaja seharusnya bijak memanfaatkan kecanggihan teknologi tersebut, bukannya terjerumus ke lembah ketagihan.
(Dipetik dan diubah suai daripada “Punca dan Kesan Ketagihan Peranti Elektronik”, oleh Noor Azam Abdul Rahman, Dewan Siswa, Bil. 6/ 2019)
Bahan 2 - Statistik