Tuesday, 12 October 2021

RUMUSAN BAHAGIAN C (SET 2) - KLON SVM SEMESTER 1, 2, 3

Soalan 9: Rumusan

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan. 


Bahan 1 - Petikan


Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan melaporkan bahawa penglibatan rakyat negara ini dalam gaya hidup sihat seperti bersukan antara 50 peratus hingga 60 peratus. Jika amalan bersukan ini dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian, secara tidak langsung akan lahir masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, tahap kesihatan mereka akan bertambah baik dan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan strok dapat dihindarkan. Secara realitinya, banyak kekangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia untuk membudayakan amalan bersukan. Kehidupan pada zaman moden ini sangat mengehadkan usaha bersukan kerana banyak masa dihabiskan di tempat kerja.

Pada masa ini, Malaysia bukan kuasa sukan dunia kerana hanya segelintir daripada rakyat negara ini yang terlibat dalam bidang sukan. Sebelum Malaysia dapat menjadi negara utama dalam sukan, 90 peratus rakyatnya perlu bersukan secara konsisten. Namun demikian, kebanyakan rakyat di negara ini menghabiskan cuti hujung minggu dengan balik ke kampung atau membeli-belah barang-barang keperluan harian. Pada hari bekerja pula, banyak masa dihabiskan dalam kesesakan jalan raya semasa pulang dari pejabat.

Seandainya ingin bersukan di luar rumah, cuaca di Malaysia yang agak panas menyebabkan seseorang itu cepat berasa dahaga dan penat. Jika ingin bersukan di dalam rumah pula, peralatan sukan yang ingin dibeli agak mahal. Dalam pada itu, keadaan rumah pula sempit sehingga tidak ada ruang untuk menyimpan peralatan sukan tersebut. Bagi mereka yang berminat dalam sukan berbasikal pula terdedah dengan risiko kemalangan di jalan raya. Selain itu, terdapat juga dalam kalangan rakyat negara ini yang berminat dengan sukan renang, namun kolam renang di negara ini yang bersaiz Olimpik menyebabkan kos mahal dan tahap kedalaman air yang tidak sesuai bagi golongan yang tidak mahir berenang. 

Amalan bersukan perlu dipupuk sejak bangku sekolah lagi bagi menggalakkan rakyat di negara ini melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah ini. Sikap ibu bapa yang mementingkan akademik sehingga melarang anak-anak mereka terlibat dalam bidang sukan perlu diubah. Usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan perlu disambut secara positif oleh semua pihak. Oleh itu, tanpa mempedulikan kekangan dan masalah, setiap individu perlu berusaha untuk bersukan.

  

(Dipetik dan diubah suai daripada “Budaya Bersukan Rakyat Malaysia”, oleh Mohd. Shukri Anwar, Dewan Budaya, Jun 2018)


Bahan 2 - Grafik




No comments:

Post a Comment