Thursday, 7 October 2021

PEMAHAMAN (BAHAGIAN B) KLON SVM SEMESTER 1 - SET 2

BAHAGIAN B (15 Markah)

Soalan 5: Bahan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Beberapa tahun kebelakangan ini, tabiat penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape semakin meruncing berikutan ramai menganggapnya mampu mengalihkan ketagihan rokok konvensional. Penggunaannya juga semakin meluas dalam kalangan remaja di bangku sekolah serta mereka yang tidak merokok kerana vape dilihat sebagai trend atau gaya hidup serta tidak memudaratkan.

Vape bukan sekadar mempunyai bahan kimia berbahaya tetapi turut memancing populasi bukan perokok untuk mencubanya kerana didakwa tidak bahaya selain mengalihkan ketagihan rokok konvensional. Tabiat merokok antara penyebab kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 10,000 orang perokok meninggal dunia dalam setahun disebabkan oleh kanser, kerosakan paru-paru dan lain-lain. 

Gejala vape ini akan menimbulkan risiko yang tidak dijangka dan mengakibatkan ketagihan dos nikotin yang lebih tinggi berikutan penggunaan rokok elektronik hampir sepanjang hari. Kajian mendapati bahawa vape akan mengakibatkan gangguan psikologi dan menjejaskan kesihatan mental. Pengguna vape dan perokok yang masih aktif atau dwipengguna akan lebih cenderung mengalami ketagihan nikotin. Dwipengguna dikatakan lebih mengalami gangguan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan atau tekanan.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Bahana vape, jejaskan kesihatan mental” oleh Mahani Ishak, BH Online, 8 Februari 2020)


Bahan 2 



  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud memancing populasi. [2 markah]
  2. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan perbezaan kesan-kesan penggunaan vape terhadap pengguna vape. [2 markah]
  3. Penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah ketika ini membimbangkan. Pada pendapat anda, mengapakah murid-murid sekolah tergamak menggunakan vape? [3 markah]


Soalan 6: Bahan Sastera

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Terkedu aku

di sejadah rindu

mengungkap kalimah syahdu

bait bicara tersentuh kalbu

merekah keinsafan di hati yang beku

mengenang dosaku yang dahulu


Berbekal pancaindera anugerah Tuhan

kupohon kembali nafas kehidupan

dalam keterhadan dan keterbatasan insan

moga terbuka ruang keampunan

sebelum saat aku dinisankan

di masa yang Kautetapkan


Air mata menjadi saksi

keikhlasan menjadi bukti

akhirnya

aku sujud menghadap Ilahi

di keheningan yang sepi

lafaz taubat mengiringi

nafas sebak kian mengikuti

Hati ini luluh

jiwa yang kaku tersentuh

ayat-ayat cinta disusun kukuh

di sejadah rindu yang lusuh

kemaafan yang kupohon sungguh

dari Pencipta dalam gemuruh


Ungkapan doa pada yang Esa

izinkan aku menjadi manusia

yang taat sentiasa

pada perintah Maha Kuasa

agar aku tidak lupa

dunia ini hanya bersifat sementara.




(Hasil karya : Mohd Haikal Aminuddin, Antologi Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd)


Bahan 2

Semakin berat kejahilan terpikul di bahu semakin jauh perjalanan memburu nur-Mu. 


Sewaktu berlari di padang hidup kerap kakiku tersadung selirat akar tubuhku tercalar duri pidana pada samar kejauhan ancala mulia makin kabur dan menghilang. 



Sekadar songsang aksara kata tanpa kembali ke tunjang makna, “Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?” 


Rabb, moga pintu taubat-Mu terbuka sebelum api dari bara itu menyala.


(Hasil Karya: Syukri Abdullah)


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud sebelum saat aku dinisankan[2 markah]
  2. Anda mendapati bahawa rakan anda melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama dalam kehidupannya. Sebagai rakan yang baik, apakah usaha yang akan anda lakukan supaya rakan anda tersebut kembali ke pangkal jalan?  [3 markah]


Soalan 7: Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Rambut atau kuku boleh dijadikan sebagai bukti dalam pencirian DNA bagi ujian paterniti. Bahan terbaik ialah sampel darah, liur atau rembesan lain. Yang penting ialah sampel harus mengandungi sel bernukleus,” kata Nurjihan. Waheeda kagum akan kepakaran ahli kimia yang cantik dan ramah serta mempunyai kulit putih melepak itu.


Waheeda pasti itu rambut suaminya yang berombak, tebal pada pelipis yang sering lekat pada sikat selepas dia menyisir rambut. Tidak mungkin ada rambut orang lain selain rambut dirinya yang panjang lurus dari bilik tidur mereka.

(Dipetik daripada novel Tirani, karya Beb Sabariah, Kementerian Pendidikan Malaysia)


Nyatakan sampel yang boleh digunakan untuk membuktikan pencirian DNA seseorang?               [3 markah]


No comments:

Post a Comment