Wednesday, 8 December 2021

RUMUSAN BAHAGIAN C (SET 4) - KLON SVM SEMESTER 1, 2, 3, 4

 Soalan 9: Rumusan (30 Markah)


Baca petikan dan teliti akhbar yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Bahan 1 - Petikan


Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan jumlah penganggur pada Mac 2020 meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan yang sama pada tahun 2019. Kadar pengangguran yang direkodkan itu paling tinggi sejak 34 tahun lepas. Kadar pengangguran tertinggi Malaysia yang pernah dicatatkan sebelum ini ialah 7.4 peratus pada tahun 1986.

Dalam soal ini, ternyata bahawa COVID-19 memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi apatah lagi pengangguran yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai. Pencari-pencari pekerjaan juga menjadi lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan ditambah pula dengan mereka yang diberhentikan kerja sejak penularan COVID-19 berlaku. Di samping itu, tidak kurang pula beberapa jenis perniagaan yang terpaksa gulung tikar kesan daripada pandemik ini. Kawasan-kawasan pelancongan tidak dapat beroperasi dan banyak jenis pekerjaan yang berkaitan dengan industri itu terpaksa dihentikan. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan sudah tentu memberi kesan yang besar terutamanya tekanan kepada seseorang individu atau keluarga. Selain itu, ia turut memberi kesan kepada peningkatan masalah sosial di segenap tempat yang terjejas dengan pandemik COVID-19 ini. Masalah jenayah juga dianggap akan menjadi bebanan kepada masyarakat memandangkan ramai yang diberhentikan kerja dan tidak memperoleh pekerjaan.

dalam soal ini, kerajaan diharap dapat menaikkan semula keyakinan rakyat dengan mengambil inisiatif membantu penduduk tempatan yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Oleh itu, tenaga pekerja tempatan mestilah diberi peluang seluas-luasnya bekerja dalam sektor yang sebelum ini dikawal oleh pekerja asing. Pengambilan pekerja asing mestilah dikurangkan. Malah ramai pekerja asing yang sudah balik ke negara mereka dan sukar datang ke sini lagi. Peluang ini mestilah direbut oleh warga tempatan untuk mengisi pekerjaan yang ditinggalkan oleh pekerja asing. Oleh hal demikian, penduduk tempatan tidak perlu lagi memilih pekerjaan terutamanya sektor 3D, iaitu kerja sukar, berbahaya dan kotor yang selama ini dimonopoli oleh pekerja asing. Sekiranya sikap ini masih kekal, bermakna kadar pengangguran di negara kita akan tetap bertahan dan tidak hairanlah jika suatu masa nanti pekerjaan-pekerjaan itu akan diisi oleh warga asing semula selepas pandemik ini berakhir.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Awas Kesan Domino Pengangguran”, Sinar Harian, 12 Mei 2020)


Bahan 2 - Keratan Akhbar


Lebih 800,000 individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik COVID-19. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kerajaan sedar ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19.

“Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800,000 orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” kata Perdana Menteri.


(Dipetik dan diubah suai daripada “800,000 Hilang Pekerjaan Sejak COVID-19 Melanda,” Berita Harian, 31 Oktober 2020)


Thursday, 18 November 2021

KARANGAN BAHAGIAN D: SEMESTER 1 (SET 3)

Gambar dan maklumat di bawah ini menunjukkan langkah-langkah melindungi diri dan orang lain daripada COVID-19.

Tulis sepucuk surat kepada rakan anda untuk menjelaskan langkah-langkah melindungi diri dan orang lain daripada COVID-19. Panjangnya karangan hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan.



Thursday, 11 November 2021

PEMAHAMAN (BAHAGIAN B) KLON SVM SEMESTER 1 - SET 3

BAHAGIAN B (15 Markah)

Soalan 5: Bahan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Permainan tradisional seperti batu seremban yo-yo cina, dan kho-kho merupakan permainan warisan budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat silam. Gelanggangnya pula sama ada di serambi, di halaman rumah, atau di kawasan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja tetapi mereka dapat berkongsi keriangan dan kegembiraan. Permainan warisan itu jelas membawa bersama-samanya pelbagai kelebihan termasuklah memupuk semangat berpasukan dan mengisi masa lapang.

Suatu ketika dahulu kanak-kanak yang menghabiskan masa bermain permainan tradisional memerlukan pergerakan fizikal dan ketajaman mental. Secara tidak langsung, permainan ini dapat melatih kekuatan fizikal dan mental mereka ketika bermain. Malangnya, permainan tersebut kian hilang peminatnya apabila berlaku pertembungan antara permainan tradisional dengan permainan moden yang canggih pada masa ini. 

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara’ oleh Samat Buang, Dewan Siswa, Bil. 9/2016)


Bahan 2

Realitinya, permainan tradisional seperti guli, baling selipar, tarik upih, dan tingting dimainkan untuk mengisi masa lapang masyarakat pada saman nenek moyang. Permainan ini melambangkan keagungan warisan bangsa dan negara tercinta. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping mencerdaskan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemainnya kerana pemain perlu memasukkan biji guli ke dalam ‘rumah’ dan ‘kampung’ pada papan congkak.


(Dipetik dan diubah suai daripada     http://cikgutancl.blogspot.com/2008)


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud persepsi cendekiawan. [2 markah]
  2. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan persamaan dan perbezaan kepentingan-kepentingan mempertahankan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat. [2 markah]
  3. Permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Pada pendapat anda, apakah kekangan-kekangan untuk mempertahankan permainan tradisional di negara kita pada hari ini? [3 markah]


Soalan 6: Bahan Sastera

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1


DIRGAHAYU BAHASAKU

 

Tempatmu di singgahsana

hati nurani bangsaku

warga yang berbudi

setia dan amanah


Bahasa itu maruah bangsa

yang mesti dipelihara martabatnya

agar tetap kukuh dan ampuh

melayari lautan bijaksana

salam ikatan mesra dan teguh


Cekal dan waja semangat pejuangmu

hak bangsaku memilikimu

hak bangsaku mendaulatkanmu

di bumi bertuah ini

merentas dunia tak bertepi


Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan

ke barat dan ke timur menjalinkan persaudaraan

gagah pelautku membelah lautan

ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam

dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam


Dirhagahayu bahasaku

di arena antarabangsa suaramu tumbuh

menusuk kalbu lagu bahasamu

bahasamu bahasa minda

mudah akrab dan bertatasusila

daripada bangsa yang bernama Melayu

menempa kejayaan di alaf baru



(Dipetik daripada  puisi tradisional “Gelanggang” oleh Ahmad Sarju 

 Antologi Dirgahayu Bahasaku, September 2000 Dewan Bahasa dan Pustaka 

Kementerian Pendidikan Malaysia)


Bahan 2

“Mel, agama dan bahasa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad yang dibaluti agama serta lidah yang dilebati bahasa ibunda merupakan warisan kita yang masih ada. Andai kedua-dua sudah hilang di mak bumi ini, kita bukan lagi generasi bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah.”

Pesan bonda itu kekal melebat dalam hati sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama di pangkal hati. Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk menjengah wajah kota yang pesat dengan kemajuan peradaban. Saya batalkan keinginan meruap-ruap dalam diri saya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Munsyi” oleh Husnia Nazri antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, hlm.56, 

Dewan Bahasa dan Pustaka 

Kementerian Pendidikan Malaysia)


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud menjengah wajah kota[2 markah]
  2. Generasi kini semakin memandang enteng penggunaan bahasa Melayu, sebaliknya mereka sanggup memartabatkan bahasa asing. Nyatakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengubah pandangan yang tidak betul terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sekarang.  [3 markah]


Soalan 7: Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Felicia mengeluh singkat. Sejurus, dia mengerling ke arah Doktor Mohammad yang baru sahaja sampai di pusat rawatan itu. Baru satu jam yang lalu, Doktor Mohammad yang bertugas secara on call pada malam itu meninggalkan bangunan PRPK, dipanggil kembali untuk menangani masalah kelahiran pramatang seorang bayi perempuan yang belum cukup masa dan menghadapi kesukaran untuk bernafas. Bayi perempuan yang tarikh kosepsinya tidak diketahui dengan pasti itu, beratnya kurang daripada 2.5 kg pada masa dilahirkan, kemudian diletakkan di dalam incubator di sisi ibunya.


(Dipetik daripada Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin, Kementerian Pendidikan Malaysia)


Nyatakan masalah yang dihadapi oleh bayi yang dibantu oleh Doktor Mohammad.  [3 markah] 

Thursday, 4 November 2021

SISTEM DAN APLIKASI BAHASA 12 (KLON SVM SEMESTER 1) - SET 3



BAHAGIAN A (15 Markah)

Soalan 1: Morfologi (Golongan Kata)

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, senaraikan dua kata kerja transitif dan dua kata kerja tak transitif.


Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan topeng muka dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman. Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari. Orang ramai dinasihati tinggal di dalam rumah.


(4 markah)


Soalan 2: Morfologi (Membina Ayat)

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan sebagai peribahasa atau nama khas.


  1. akhlak
  2. istirahat

(2 markah)


Soalan 3: Penyuntingan

Setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan tersebut. Anda perlu menulis kesalahan yang dikenal pasti dan membuat pembetulannya.


  1. Dunia hari ini sering tersaji dengan pelbagai cerita kemanusiaan yang menyentuh perasan.
  2. Pihak kerajaan telah melaksanakan urbanisasi di luar Bandar untuk mensejahterakan rakyat.
  3. Orang ramai dilarang mengadakan demontrasi jalanan kerana hal tersebut boleh mengugat keharmonian negara.


(6 markah)


Soalan 4: Peribahasa

Tulis satu ayat berdasarkan setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaannya.

  1. tulang belakang
  2. bagai menatang minyak yang penuh
  3. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas 

(3 markah)


Thursday, 28 October 2021

RUMUSAN BAHAGIAN C (SET 3) - KLON SVM SEMESTER 1, 2, 3

BAHAGIAN C (30 Markah) -Rumusan

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan. 


Bahan 1 - Petikan

Peredaran zaman telah berubah kecenderungan remaja pada masa ini untuk mengisi waktu terluang. Jika masa dahulu, remaja akan mencari rakan sebaya untuk menjalankan aktiviti di luar rumah secara berkumpulan dan berbentuk fizikal namun pada hari ini, kebanyakan remaja lebih berminat untuk berkurung sendirian di bilik dengan memberikan tumpuan terhadap peranti elektronik masing-masing. Secara umumnya, peranti elektronik berfungsi sebagai medium penyampai maklumat dan komunikasi dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun, keghairahan menggunakan peranti elektronik secara tidak berdisiplin akan mengundang pelbagai masalah sosial dan penyalahgunaan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kesan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan mengganggu norma dan nilai dalam keluarga, masyarakat dan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa dapat juga kebaikan terhadap penggunaan peranti elektronik dalam kehidupan remaja. Antaranya, termasuklah mampu meningkatkan proses pembelajaran di samping kemahiran inovasi dan pemikiran kritis dalam kalangan remaja.

Bukan itu sahaja, kesan negatif penggunaan peranti elektronik secara berlebihan termasuklah pembaziran masa yang kritikal dan masalah kesihatan seperti obesiti. Remaja yang menggunakan aplikasi seperti permainan video melebihi dua jam akan menjejaskan penglihatan mereka dan menyebabkan mata menjadi rabun. Selain itu, bagi remaja yang menggunakan peranti elektronik dalam keadaan postur berbaring atau duduk terlalu lama akan menyebabkan kesakitan pada tulang belakang dan meningkatkan risiko bongkak pada usia muda. 

Di samping itu, remaja yang ketagihan penggunaan peranti elektronik akan mengurangkan tumpuan mereka ada pelajaran atau tugasan yang diberikan. Dalam aspek pergaulan dan komunikasi pula, remaja yang ketagihan peranti elektronik akan menjadi lebih pendiam, kurang sabar, tidak mempunyai teman rapat dan penguasaan bahasa yang tidak berkembang. Dari sudut perkembangan emosi pula, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan akan mengganggu perkembangan emosi dan kerohanian para remaja. Masalah ini menjadi lebih kritikal akibat daripada perkembangan teknologi yang semakin bervariasi. Namun begitu, remaja seharusnya bijak memanfaatkan kecanggihan teknologi tersebut, bukannya terjerumus ke lembah ketagihan.

(Dipetik dan diubah suai daripada “Punca dan Kesan Ketagihan Peranti Elektronik”, oleh Noor Azam Abdul Rahman, Dewan Siswa, Bil. 6/ 2019) 



Bahan 2 - Statistik




Thursday, 21 October 2021

KARANGAN BAHAGIAN D: SEMESTER 3 (SET 2)

BAHAGIAN D (40 Markah)- 1 Jam 30 Minit

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu karangan yang panjangnya antara 350 hingga 500 patah perkataan.


Hasil daripada kajian Globalstat, didapati lebih daripada 72% penggunaan media sosial di Malaysia merupakan antara pengguna tegar atau ketagihan media sosial terutama kebergantungan kepada telefon pintar. Media sosial yang paling kerap digunakan oleh rakyat Malaysia ialah Facebook (79%), Twitter (5%), YouTube (4%), dan instagram (3%).


Sumber: Sinar Harian, 19 September 2020


Petikan akhbar di atas menerangkan bahawa masyarakat kita lebih ghairah dan obses terhadap media sosial berbanding dengan masyarakat negara-negara maju. Hal ini bermakna setiap 10 minit atau kurang rakyat Malaysia akan sentiasa melihat atau mengintai telefon pintar mereka. Ketagihan media sosial bukan sahaja melanda para remaja dan kanak-kanak, tetapi juga berjangkit kepada golongan yang lebih berusia.


Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan media sosial bagi anak-anak yang masih bersekolah.

KARANGAN BAHAGIAN D : SEMESTER 1 (SET 2)

NOTA BERSERTA LATIHAN MENULIS KARANGAN BAHAN RANGSANGAN





Soalan 9: Berdasarkan Bahan Rangsangan (40 Markah)- 30 Minit 

Gambar dan maklumat di bawah in berkaitan dengan adab-adab murid terhadap guru.


Panjangnya karangan anda hendaklah antara 150 hingga 200 patah perkataan. 






Tuesday, 12 October 2021

RUMUSAN BAHAGIAN C (SET 2) - KLON SVM SEMESTER 1, 2, 3

Soalan 9: Rumusan

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan. 


Bahan 1 - Petikan


Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan melaporkan bahawa penglibatan rakyat negara ini dalam gaya hidup sihat seperti bersukan antara 50 peratus hingga 60 peratus. Jika amalan bersukan ini dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian, secara tidak langsung akan lahir masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, tahap kesihatan mereka akan bertambah baik dan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan strok dapat dihindarkan. Secara realitinya, banyak kekangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia untuk membudayakan amalan bersukan. Kehidupan pada zaman moden ini sangat mengehadkan usaha bersukan kerana banyak masa dihabiskan di tempat kerja.

Pada masa ini, Malaysia bukan kuasa sukan dunia kerana hanya segelintir daripada rakyat negara ini yang terlibat dalam bidang sukan. Sebelum Malaysia dapat menjadi negara utama dalam sukan, 90 peratus rakyatnya perlu bersukan secara konsisten. Namun demikian, kebanyakan rakyat di negara ini menghabiskan cuti hujung minggu dengan balik ke kampung atau membeli-belah barang-barang keperluan harian. Pada hari bekerja pula, banyak masa dihabiskan dalam kesesakan jalan raya semasa pulang dari pejabat.

Seandainya ingin bersukan di luar rumah, cuaca di Malaysia yang agak panas menyebabkan seseorang itu cepat berasa dahaga dan penat. Jika ingin bersukan di dalam rumah pula, peralatan sukan yang ingin dibeli agak mahal. Dalam pada itu, keadaan rumah pula sempit sehingga tidak ada ruang untuk menyimpan peralatan sukan tersebut. Bagi mereka yang berminat dalam sukan berbasikal pula terdedah dengan risiko kemalangan di jalan raya. Selain itu, terdapat juga dalam kalangan rakyat negara ini yang berminat dengan sukan renang, namun kolam renang di negara ini yang bersaiz Olimpik menyebabkan kos mahal dan tahap kedalaman air yang tidak sesuai bagi golongan yang tidak mahir berenang. 

Amalan bersukan perlu dipupuk sejak bangku sekolah lagi bagi menggalakkan rakyat di negara ini melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah ini. Sikap ibu bapa yang mementingkan akademik sehingga melarang anak-anak mereka terlibat dalam bidang sukan perlu diubah. Usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan perlu disambut secara positif oleh semua pihak. Oleh itu, tanpa mempedulikan kekangan dan masalah, setiap individu perlu berusaha untuk bersukan.

  

(Dipetik dan diubah suai daripada “Budaya Bersukan Rakyat Malaysia”, oleh Mohd. Shukri Anwar, Dewan Budaya, Jun 2018)


Bahan 2 - Grafik




Thursday, 7 October 2021

PEMAHAMAN (BAHAGIAN B) KLON SVM SEMESTER 2 & 3 - SET 2

BAHAGIAN B (15 Markah)

Soalan 6: Bahan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Ancaman keselamatan dan jenayah yang dibawa oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak boleh dipandang mudah kerana mampu memberikan risiko kepada rakyat di negara ini. Sekadar membayangkan jika ada antara PATI ini terbabit dalam aktiviti tidak sihat di negara asal atau menjadi buruan pihak berkuasa di pelbagai negara. Mereka membolos ke negara ini secara tidak sah kerana tidak perlu melalui ‘tapisan’ di pintu sempadan, apakah yang terjadi?

Yang paling dikhuatiri apabila mereka bebas bergerak di dalam negara dalam pelbagai sektor pekerjaan, membina petempatan dan komuniti sendiri, terlibat dalam kegiatan jenayah, malah yang lebih ‘otai’ mampu membina kartel jenayah tersendiri. PATI tidak seharusnya dibiarkan bebas dalam negara ini kerana golongan ini menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini. 

Lihatlah apabila kumpulan PATI ini sudah besar kepala, pihak berkuasa dan undang-undang negara bukan lagi sesuatu yang menggerunkan mereka sekali gus menjadikan penduduk tempatan tidak selesa apabila terpaksa hidup bersama mereka. Keadaan ini juga secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada imej agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


(Dipetik dan diubah suai daripada “Jangan biar dibolosi lagi” oleh Mohd Zahini Othman, My Metro, 2 Julai 2020)


Bahan 2 


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud membolos ke negara ini. [2 markah]
  2. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan perbezaan tentang kesan kedatangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini. [2 markah]
  3. Lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini sekolah-olah telah sebati dalam masyarakat kita. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan negara kita menjadi pilihan PATI? [3 markah]


Soalan 7: Bahan Sastera

Baca Bahan 1 dan Bahan 2, yang diberikan dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

ERTI HIDUP BERERTI (Teo Wei Sing)


Aku selalu didatangi

malam sepi

bagai kalung

yang melingkari leherku

tidak berubah keesokan hari

siapa yang akan dayang menjengukku

keluhan seorang tua sunyi.


Keheningan tasik

kehijauan rumput

hanya menjadi bayangan

di penjuru ruang zaman

cinta dalam rahim dilupai

dari sulung ditendang ke bongsu

dari angah ditendang ke sulung balik

kucari erti hidup

menderita mengerang sakit

berdiri tanpa ruang.


Aku bagi mereka

tiada makna

anakku bakaku

baik setia mahupun derhaka

semoga disirami benih keinsafan

menjadi penawar dalam hati

embun cinta atasi angin dingin

jangan terpegun

ada yang mati

ada yang hidup

tiada yang kekal kecuali Tuhan.


Antologi Sejadah Rindu

Kementerian Pendidikan Malaysia


Bahan 2

ORANG TUA

Nampakkah kau 

wanita tua di tepi jalan

mukanya comot rambutnya kusut

membawa bersamanya beg usang

berjalan ke sana ke mari

tanpa suatu destinasi.


Nampakkah kau

lelaki tua di hujung jalan

kemejanya kotor seluarnya rabak

duduk di sudut tangga

menunggu sisa makanan restoran mamak

untuk mengalas perut yang kosong.

Nampakkah kau 

darah berlumuran di jalan raya

mayat si tua dibiarkan di situ

dan

di bilik mayat pula 

tiada siapa datang menuntutnya.


Nampakkah ia sepertimu

mereka juga diciptakan oleh-Nya

tetapi bezanya mereka diabaikan

ditinggalkan

oleh anak-anak jahil tidak berbudi

nampakkah kau?


Antologi Harga Sebuah Lukisan

Dewan Bahasa dan Pustaka


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud kucari erti hidup.           [2 markah]
  2. Banyak dilema dihadapi warga tua pada hari ini. Sebagai anak yang mengenang budi, kita perlu membahagiakan ibu bapa. Pada pendapat anda, apakah usaha yang perlu dilakukan untuk membahagiakan kedua ibu bapa? [3 markah]


Soalan 8: Novel

Setiap novel mengandungi pelbagai pengajaran dan teladan yang dapat dijadikan panduan serta pedoman hidup.


Berdasarkan salah satu novel di bawah, jelaskan peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang.


  1. Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib
  2. Di Sebalik Dinara, karya Dayang Nor
  3. Jendela Menghadap Jalan, karya Ruhaini Matdarin
  4. Pantai Kasih, karya Azmah Nordin 

[3 markah]


PEMAHAMAN (BAHAGIAN B) KLON SVM SEMESTER 1 - SET 2

BAHAGIAN B (15 Markah)

Soalan 5: Bahan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Beberapa tahun kebelakangan ini, tabiat penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape semakin meruncing berikutan ramai menganggapnya mampu mengalihkan ketagihan rokok konvensional. Penggunaannya juga semakin meluas dalam kalangan remaja di bangku sekolah serta mereka yang tidak merokok kerana vape dilihat sebagai trend atau gaya hidup serta tidak memudaratkan.

Vape bukan sekadar mempunyai bahan kimia berbahaya tetapi turut memancing populasi bukan perokok untuk mencubanya kerana didakwa tidak bahaya selain mengalihkan ketagihan rokok konvensional. Tabiat merokok antara penyebab kematian utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 10,000 orang perokok meninggal dunia dalam setahun disebabkan oleh kanser, kerosakan paru-paru dan lain-lain. 

Gejala vape ini akan menimbulkan risiko yang tidak dijangka dan mengakibatkan ketagihan dos nikotin yang lebih tinggi berikutan penggunaan rokok elektronik hampir sepanjang hari. Kajian mendapati bahawa vape akan mengakibatkan gangguan psikologi dan menjejaskan kesihatan mental. Pengguna vape dan perokok yang masih aktif atau dwipengguna akan lebih cenderung mengalami ketagihan nikotin. Dwipengguna dikatakan lebih mengalami gangguan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan atau tekanan.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Bahana vape, jejaskan kesihatan mental” oleh Mahani Ishak, BH Online, 8 Februari 2020)


Bahan 2 



  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud memancing populasi. [2 markah]
  2. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan perbezaan kesan-kesan penggunaan vape terhadap pengguna vape. [2 markah]
  3. Penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah ketika ini membimbangkan. Pada pendapat anda, mengapakah murid-murid sekolah tergamak menggunakan vape? [3 markah]


Soalan 6: Bahan Sastera

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Terkedu aku

di sejadah rindu

mengungkap kalimah syahdu

bait bicara tersentuh kalbu

merekah keinsafan di hati yang beku

mengenang dosaku yang dahulu


Berbekal pancaindera anugerah Tuhan

kupohon kembali nafas kehidupan

dalam keterhadan dan keterbatasan insan

moga terbuka ruang keampunan

sebelum saat aku dinisankan

di masa yang Kautetapkan


Air mata menjadi saksi

keikhlasan menjadi bukti

akhirnya

aku sujud menghadap Ilahi

di keheningan yang sepi

lafaz taubat mengiringi

nafas sebak kian mengikuti

Hati ini luluh

jiwa yang kaku tersentuh

ayat-ayat cinta disusun kukuh

di sejadah rindu yang lusuh

kemaafan yang kupohon sungguh

dari Pencipta dalam gemuruh


Ungkapan doa pada yang Esa

izinkan aku menjadi manusia

yang taat sentiasa

pada perintah Maha Kuasa

agar aku tidak lupa

dunia ini hanya bersifat sementara.




(Hasil karya : Mohd Haikal Aminuddin, Antologi Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd)


Bahan 2

Semakin berat kejahilan terpikul di bahu semakin jauh perjalanan memburu nur-Mu. 


Sewaktu berlari di padang hidup kerap kakiku tersadung selirat akar tubuhku tercalar duri pidana pada samar kejauhan ancala mulia makin kabur dan menghilang. 



Sekadar songsang aksara kata tanpa kembali ke tunjang makna, “Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?” 


Rabb, moga pintu taubat-Mu terbuka sebelum api dari bara itu menyala.


(Hasil Karya: Syukri Abdullah)


  1. Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud sebelum saat aku dinisankan[2 markah]
  2. Anda mendapati bahawa rakan anda melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama dalam kehidupannya. Sebagai rakan yang baik, apakah usaha yang akan anda lakukan supaya rakan anda tersebut kembali ke pangkal jalan?  [3 markah]


Soalan 7: Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Rambut atau kuku boleh dijadikan sebagai bukti dalam pencirian DNA bagi ujian paterniti. Bahan terbaik ialah sampel darah, liur atau rembesan lain. Yang penting ialah sampel harus mengandungi sel bernukleus,” kata Nurjihan. Waheeda kagum akan kepakaran ahli kimia yang cantik dan ramah serta mempunyai kulit putih melepak itu.


Waheeda pasti itu rambut suaminya yang berombak, tebal pada pelipis yang sering lekat pada sikat selepas dia menyisir rambut. Tidak mungkin ada rambut orang lain selain rambut dirinya yang panjang lurus dari bilik tidur mereka.

(Dipetik daripada novel Tirani, karya Beb Sabariah, Kementerian Pendidikan Malaysia)


Nyatakan sampel yang boleh digunakan untuk membuktikan pencirian DNA seseorang?               [3 markah]


Wednesday, 29 September 2021

SISTEM DAN APLIKASI BAHASA 11 (KLON SVM SEMESTER 2 DAN 3) - SET 2

BAHAGIAN A (15 Markah)

Soalan 1: Morfologi (Kenal pasti dan bina ayat)

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kenal pasti dua kata ganda. Kemudian anda dikehendaki membina satu ayat anda sendiri daripada setiap kata ganda tersebut untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya.


Orang ramai mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memperketat undang-undang ke atas pemandu mabuk kerana banyak kes kemalangan membabitkan golongan itu sejak akhir-akhir ini.

(2 markah)


Soalan 2: Sintaksis 

Baca petikan di bawah, cerakinkan ayat majmuk tersebut supaya menjadi ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.


Aktiviti mendaki gunung merupakan aktiviti mencabar yang semakin digemari dewasa ini. Pendaki perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal.

(4 markah)


Soalan 3: Penyuntingan

Petikan di bawah mengandungi dua kesalahan kata atau istilah dan dua kesalahan Tatabahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan tersebut. Anda perlu menulis kesalahan-kesalahan yang dikenal pasti dan membuat pembetulannya.


Cadangan memperkenalkan sukan renang sebagai subjek ke sekolah bukanlah usaha yang mudah dan boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang pendek. Selain memakan kos yang tinggi untuk membina kolam renang di sekolah, lain-lain faktor juga perlu diambil kira.

(4 markah)



Soalan 4: Bahasa Melayu Standard

Baca petikan bahasa Melayu klasik di bawah dengan teliti, kemudian tulis semula petikan tersebut dalam bentuk bahasa Melayu Standard tanpa mengubah maksud dan bentuk asalnya.


Maka diam Tun Perak tiada disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata itu, maka barulah disahutinya oleh Tun Perak itu.

(3 markah)



Soalan 5: Peribahasa

Baca petikan di bawah dengan telitinya dan kemukakan dua peribahasa yang sesuai.


Walaupun Encik Gopal selalu menasihati anaknya supaya jangan merokok, beliau sering merokok di hadapan anak-anaknya. Akibatnya, nasihat yang diberikan oleh beliau kepada anak-anaknya itu tidak diendahkan.

(2 markah)