Saturday, 21 August 2021

PEMAHAMAN (BAHAGIAN B) KLON SVM SEMESTER 1 - SET 1

BAHAGIAN B (15 Markah)

Soalan 5: Bahan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Kejiranan, Cara Kekalkan Hubungan Baik”, Utusan Malaysia, Jun 2015)


Bahan 2

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat Kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita Kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng. Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran.


(Dipetik dan diubah suai daripada “Kejiranan, Cara Kekalkan Hubungan Baik”, Utusan Malaysia, Jun 2015)


  1. Berdasarkan Bahan 2, berikan maksud menjamin keselamatan setempat. [2 markah]
  2. Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan persamaan faedah hidup berjiran dan perpaduan kepada negara. [2 markah]
  3. “Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur”. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [3 markah]


Soalan 6: Bahan Sastera

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 yang diberikan dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Bahan 1

“Hampir sepuluh tahun dulu orang dari kem balak sering datang mengganggu kami kerana hendak menebang segala pokok yang ada di hutan ini. Tetapi akhirnya mereka tidak berani lagi kerana suatu peristiwa.” Itai menarik tangan Amira yang cuba melangkah ke tebing.

“Sungai yang paling sesuai untuk aktiviti lasak. Lebih menarik kalau kita berkayak di sini. Cerita kau tadi, apa yang berlaku seterusnya, Itai. Maksud aku peristiwa yang kau katakan sebentar tadi?” Amira sempat memuji kehebatan arus sungai yang menghanyutkannya.


(Dipetik daripada novel Kembara Amira, karya Rozlan Mohamed Nor, Utusan Publications dan Distributors Sdn. Bhd.)


Bahan 2

Sungaiku


Sungaiku,

dahulu mengalir ceria,

sejuk, jernih dan bersih,

ikan-ikan gembira,

berenang ke sana ke sini,

hidup aman tiada duka.


Sungaiku,

keindahanmu mempesona,

di tepianmu berlibur bersama keluarga,

mandi-manda, berkayak bersuka ria,

pemancing asyik menahan joran, 

nelayan seronok menebar pukat.


Sungaiku,

kini mengalir lesu,

airmu keruh, kotor dan busuk,

ikan-ikan tidak lagi gembira,

ada yang mati,

ada yang membawa diri.


  1. Berdasarkan Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di sungai.  [2 markah]
  2. Pada suatu petang, anda ingin memancing ikan di sebatang sungai berhampiran dengan rumah anda. Anda mendapati air sungai itu sangat keruh dan berbau busuk. Setelah anda siasat, anda mendapati sungai tersebut telah tercemar dengan sisa toksik. Sebagai rakyat yang prihatin, bagaimanakah anda dapat membantu menangani masalah pencemaran sungai tersebut? [3 markah]


Soalan 7: Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Abah, jangan benarkan! Walau apa-apa pun yang akan terjadi, biarlah emak di rumah! Sakit emak bukan selalu datang, hanya sesekali sahaja! Kalau emak tak ada, siapa akan menjaga Anggerik?” Mahu sahaja Dahlia meluahkan kalimat itu tetapi dirasakan tidak wajar. Nanti dianggap kurang ajar atau tidak mengetahui tatasusila budaya. Budaya Melayu melarang keras perbuatan membantah kata-kata orang tua. 

Haji Sulaiman kemudian berkata sesuatu dengan begitu perlahan seperti gaya berbisik. Dahlia ingin mendengar tetapi perbualan itu begitu perlahan.

“Kami bawa isteri engkau, ya Embong?” Tanya Haji Sulaiman yang sudah berdiri. Begitu juga orang yang dibawa bersama. Embong bangun dan mengangguk lemah.


(Dipetik daripada novel Songket Berbenang Emas, karya Khairuddin Ayip, Kementerian Pendidikan Malaysia)


Nyatakan sebab-sebab Dahlia tidak meluahkan kalimat yang dianggap tidak wajar itu kepada bapanya. [3 markah]


No comments:

Post a Comment