Rumusan: Tema Pertanian, Penternakan dan Perikanan
Baca petikan dan teliti ilustrasi yang diberikan di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Bahan 1 - Petikan
Di negara kita, bidang pertanian bukanlah suatu bidang yang baru diteroka memandangkan bidang ini sudah dianggap sinonim dengan penduduk di negara kita. Sebelum kita mementingkan bidang perindustrian, pertanian merupakan salah satu sumber pendapatan kebanyakan penduduk di negara ini apatah lagi di kawasan-kawasan kampung. Malangnya, kebanyakan anak muda sekarang tidak begitu yakin terhadap bidang ini. Hal ini disebabkan anggapan bahawa bidang ini tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan, berisiko tinggi, sukar, kotor dan membahayakan.
Oleh hal demikian, golongan ini disaran agar bergiat aktif dalam bidang pertanian kerana bidang ini dapat memberi nilai tambah bagi meningkatkan pendapatan mereka. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, nilai tambah itu boleh dilaksanakan menerusi kreativiti penghasilan beberapa jenis produk daripada satu sumber untuk dipasarkan dalam dan luar negara. Dalam soal ini, kita dapat melihat betapa anak muda perlu mengubah mentaliti mereka selama ini daripada konsep pertanian tradisional kepada pertanian moden selain daripada bidang ini juga boleh diusahakan di kawasan bandar. Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, pelbagai insentif, latihan dan bantuan kepakaran akan disediakan oleh pihak kementerian untuk menjadikan golongan itu sebagai petani moden.
Tidak ketinggalan juga, kementerian turut mewujudkan program AgroSiswa bagi lepasan graduan menceburkan diri dalam bidang pertanian dan yakin bahawa program ini dapat menarik golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut. Setakat ini hanya 30 peratus anak muda bergerak secara aktif dalam bidang pertanian terutama membabitkan perternakan dan fertigasi, manakala 60 peratus orang tua mendominasi sektor penanaman padi. Selain itu, bagi memastikan anak muda berminat menjadi petani moden, kementerian akan mengenal pasti halangan yang menjadikan mereka kurang berminat dalam bidang ini. Hal ini turut dikaitkan dengan kurang keyakinan mereka kerana berlakunya turun naik harga komoditi pertanian di pasaran. Dalam pada itu, kementerian juga berhasrat mengubah mentaliti golongan sasar bahawa pertanian itu juga rezeki.
Jika kita tinjau di Jepun, Korea mahupun Eropah, penduduk di sana benar-benar menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan dan profesion. Oleh hal demikian, tidak semestinya negara kita tidak boleh menjadikan bidang pertanian sebagai profesion memandangkan pelbagai kemudahan dan kemajuan sudah digunakan dalam bidang ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada “Orang Muda Perlu Sahut Cabaran Petani Moden”, Berita Harian, 31 Julai 2018)
Bahan 2 - Grafik
No comments:
Post a Comment